06 November 2012

Kadar Tol PLUS - MAKLUMAT PENTING

Semak Harga dan Kadar Tol PLUS Anda: Sekiranya anda ingin menyemak kadar tol plus, anda boleh gunakan laman web berikut. Anda akan dapat mengetahui KADAR TOL PLUS yang perlu anda bayar sebelum memulakan perjalanan. Jadi, tak adalah anda tersangkut di tengah jalan dan dapat menyediakan wang untuk membayar kadar tol PLUS dengan cukup.

Anda perlu mengisi, lokasi entrance dan exit. Kemudian masukkan jenis kenderaan anda, samada kelas 1, 2,3,4 atau 5.

Selepas semua maklumat dimasukkan, klik button "get result". Sebagai contoh, paparan seperti di atas akan tertera. Kadar tol plus kenderaan kelas 1 dari Kota Damansara ke Gurun adalah sebanyak RM49.20. Jarak perjalanan adalah 360.5KM

BERITA TERDAHULU BERKENAAN KADAR TOL PLUS DI MALAYSIA
2010 - Utusan Malaysia : Kadar Tol Plus Malaysia Akan Naik?

    MUSIM sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu memperlihatkan berpuluh ribu kenderaan memenuhi lebuh raya utara selatan, timur dan barat. Ketika kita sibuk bercuti ke kampung halaman dan menikmati perjalanan pergi dan balik yang lancar, ada satu perkara yang mungkin kita lupa. Kita tidak mengambil peduli bahawa rangkaian lebuh raya di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga Asia selepas Jepun dan China.

    Pun begitu, pengguna perlu diingatkan bahawa perjalanan lancar itu ada harganya. Harga perjalanan akan bertambah mahal. Tahun ini, 10 lebuh raya dijangka akan menaikkan kadar tol termasuk di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang akan mengkaji kadar harga tol untuk pertama kali.

    Kadar tol Jambatan Pulau Pinang tidak dinaikkan sejak 25 tahun manakala LPT akan menyemak kadar tolnya selepas enam tahun. Menurut bekas Menteri Kerja Raya, kadar tol Malaysia adalah paling murah di dunia. Purata tol dianggar daripada RM0.11 per km di LPT sehingga RM0.14 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Jika dibandingkan dengan tol Jambatan Suramadu yang menyambung Surabaya dan Madura di Indonesia berharga 30,000 rupiah (RM11.04) bagi 5.4 km, ini bermakna pengguna membayar RM2.04 per km apabila mengguna jambatan tersebut berbanding menggunakan jambatan ketiga terpanjang di dunia iaitu Jambatan Pulau Pinang yang mengenakan kos hanya RM0.26 per km.

    Jika dibuat perbandingan dengan lebuh raya Subic-Clark-Tarlac sepanjang 94 km yang merupakan lebuh raya terpanjang di Filipina, kos bagi kenderaan persendirian menyeberangi jambatan itu ialah RM0.15 per km. Bagi pengguna jambatan Bangabandhu sepanjang 5 km di Bangladesh yang menghubungkan bahagian timur dengan utara negara tersebut, mereka perlu membayar lebuh raya bertol itu pada harga AS$6 atau RM20.40 bagi kenderaan kelas 1 manakala trak dan lori membayar maksimum AS$18 (RM61.20) bagi satu perjalanan. Ini bermakna sebuah kereta persendirian membayar kira-kira RM4.08 per km.

    Bayangkan tiga negara yang kategori pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada Malaysia tetapi terpaksa membayar kos tol lebih tinggi daripada kita. Bahkan, laluan bertol di Malaysia kerap dinaik taraf dan dibaik pulih bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna. Misalnya kemudahan di kawasan rehat lebuh raya utara Selatan dan pelebaran laluan di Jambatan Pulau Pinang ternyata memberi keselesaan kepada pengguna.

    Di fasa kedua LPT yang menyambung lebuh raya hingga ke Terengganu yang kini dalam pembinaan, dijangka akan menyediakan perjalanan yang pantas dan tanpa gangguan dari Kuala Lumpur hingga Kuala Terengganu.

    Lebuh raya itu bukan sahaja menghubung pekan berhampiran tetapi yang penting bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Tanpa lebuh raya yang menjadi salur nadi ekonomi Malaysia, negara kita tidak akan menjadi dinamik dan tumbuh dengan pantas. Jadi, ketika pengguna seronok menikmati keistimewaan lebuh raya dengan perkhidmatan dan kemudahan terbaik, jangan lupa tentang ada kosnya.

    Rakyat Malaysia sudah terlalu lama dikaburi oleh harga tol yang murah. Pengguna kita dilindungi daripada kenaikan harga termasuk laluan bertol kerana ada subsidi. Ingatlah, subsidi tidak akan kekal selama-lamanya.

    Dalam perancangan Model Ekonomi Baru, kerajaan sudah membayangkan tidak mampu lagi menanggung subsidi yang tinggi dan memberi kemudahan di bawah nilai sebenar meskipun ia akan menjejaskan golongan sebenar yang memerlukan bantuan. Kerajaan tidak sanggup lagi menanggung beban membayar subsidi dan ganti rugi kepada pemegang-pemegang konsesi lebuh raya bertol bagi mengelakkan kadar tol dinaikkan, kerana kosnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

    Ertinya, pengguna kenalah membayar jalan dan lebuh raya yang mereka guna dan mereka hendaklah berhenti merungut. Keselesaan pun ada harganya. Jadi, rakyat perlu bersedia membayar lebih apabila menggunakan laluan yang sekian lama diambil mudah kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi.

    Rakyat kena memahami dan menerima hakikat bahawa mereka perlu membayar apa yang mereka guna, samalah juga mereka membayar apabila mengguna tandas, telefon awam dan tempat letak kereta. Mentaliti subsidi atau pergantungan pada kerajaan perlu dilenyapkan perlahan-lahan. -Utusan Malaysia


2010 - BERITA HARIAN - Mutakhir: Kadar tol PLUS tak dinaikkan dalam masa 5 tahun
KUALA LUMPUR: Bagi meringankan beban pengguna lebuh raya, kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen hari ini, berkata langkah itu adalah kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.
Bagi memperluas perkhidmatan kesihatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat serta peralatan perubatan.

Beliau berkata sejak tahun lalu, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah klinik berkenaan.

"Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments: