Showing posts with label Facebook. Show all posts
Showing posts with label Facebook. Show all posts

22 January 2012

Facebook, Twitter antara punca cerai - CINTA SIBER

Facebook, Twitter antara punca cerai
Disediakan oleh Berita Harian

Perhatian, penuh kasih sayang, setia elak perangkap cinta siber

KADAR perceraian di Malaysia mengikut statistik Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pada 2009 ialah satu kes pada setiap 15 minit. Kes perceraian membabitkan pasangan semua peringkat taraf pendidikan, kekayaan, status dan usia perkahwinan. Golongan kaya dan selebriti yang dianggap menikmati kehidupan ‘sempurna’ di mata masyarakat turut tidak terlepas mengalami keruntuhan rumah tangga. Soal nikah dan cerai tidak boleh dipandang mudah kerana memberi kesan yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Perceraian ialah perkara halal paling dibenci dalam Islam, yakni perkara perlu dielak daripada berlaku melainkan untuk mencari keadilan dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam rumah tangga.

Hidup berumah tangga banyak cabarannya, umpama melayari bahtera di lautan gelora dan luas tanpa tepian. Justeru, setiap pasangan suami isteri perlu menggunakan pendekatan berhemah dan berlapang dada dalam mendepani rencah kehidupan berumah tangga.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang. Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Tanpa perasaan kasih sayang, kekayaan tidak dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Banyak pasangan bertaraf jutawan mengakhiri perkahwinan dengan perceraian. Selepas perceraian, harta pula menjadi rebutan sehingga dibawa kes tuntutan ke mahkamah.

Hal ini berlaku akibat terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat Barat yang mana apabila berlaku perceraian, soal pembahagian harta menjadi agenda utama.

Satu fenomena baru melanda masyarakat sekarang hingga menyebabkan perceraian ialah suami atau isteri mempunyai hubungan ‘pasangan maya’ di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Ledakan rakan maya menyebabkan banyak individu teruja dan ’lupa diri.’ Golongan ini asyik berhubung melalui alam siber khususnya berborak di laman sembang berjam-jam setiap hari.

Bermula dari alam siber lalu bertemu di dunia nyata. Bagi individu belum berkahwin, ada yang bertemu jodoh dengan rakan maya dan kekal bahagia. Masalahnya bagi mereka yang telah berkahwin menjalin cinta gelap dengan rakan maya menjadi punca keretakan rumah tangga.

Rakan maya mudah mesra, kononnya tidak ada sekatan perasaan malu kerana tidak perlu melafazkan kata-kata. Malah reaksi wajah atau gerak badan tidak diperlukan. Medium menjadi penghubung adalah bait kata yang tertera di skrin komputer atau telefon.

Dalam hubungan itulah, ada yang mengambil kesempatan atau terperangkap dengan cinta maya. Perkara ini lazimnya mudah berlaku membabitkan bekas kekasih, rakan lama dan tidak kurang dengan mereka yang sememangnya menjadikan ruang siber untuk berlagak Romeo mahupun Juliet.

Hubungan maya ini dikesan menjadi punca perceraian apabila suami atau isteri mengetahui pasangan mereka mempunyai hubungan cinta lain.

Tidak kurang juga mereka sanggup meminta cerai daripada pasangan apabila terlalu yakin dan sayang kepada pasangan maya yang dirasakan lebih sesuai dan mencintainya.

Untuk mencegah perkara ini, persahabatan maya perlu ada batasannya. Bagi mereka yang telah bergelar suami atau isteri, perlu bijak menilai tahap hubungan dengan rakan maya berlainan jantina.

Haram bagi isteri menjalin ‘hubungan mesra’ dengan lelaki lain biarpun hanya dalam alam maya. Suami perlu tegas melarang isteri jika perkara itu terjadi. Dayus jika suami mengetahui perkara itu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mencegahnya.

Riwayat Tabrani, dari Ammar Yasir berkata: “Dia mendengar dari Rasulullah bersabda: Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.”

Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?”

Lalu Rasulullah bersabda lagi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Setia kepada pasangan dan sentiasa menyimpan hasrat untuk kekal hidup bersama sehingga ke akhir hayat amat penting dalam rumah tangga.

Jangan biarkan rumah tangga dilanda badai sehingga menggagalkan impian yang diikat ketika akad nikah dilakukan.

Sesungguhnya pahala amat besar bagi isteri yang mentaati suaminya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang isteri solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatan serta menutup aurat dan taat kepada suami, lebih berhak baginya masuk ke syurga daripada sebarang pintu yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Suami dan isteri boleh mencegah hubungan jika masing-masing memberi perhatian dan mengambil berat.

Hubungan maya biasa terjadi disebabkan terasa diabaikan oleh pasangan. Bermula suka-suka dan mengisi masa lapang, akhirnya mereka terjebak dengan cinta maya yang mengundang masalah dalam rumah tangga.

Sebab itu amat penting cinta dan kasih sayang suami isteri sentiasa dipupuk dan dijaga agar tidak terdorong melakukan perkara yang dilarang agama.

Langkah JAKIM ingin menganjurkan kursus pasca perkahwinan adalah satu langkah proaktif untuk membendung gejala perceraian termasuk dalam kalangan mereka yang telah lama berumah tangga.

Tentunya satu perkara amat malang jika perkahwinan yang telah berlangsung puluhan tahun berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil yang sebenarnya boleh dielak.

10 January 2012

Hukum Facebook Menurut Islam - Ulama Iran

Hukum Facebook Menurut Islam - Berdosa jadi ahli Facebook: Ulama Iran
Disediakan oleh Berita Harian

BELIA Palestin memeriksa akaun Facebook di Ramallah.

TEHRAN: Seorang ulama Iran menetapkan web media rangkaian sosial popular di seluruh dunia, Facebook bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan peri laku tidak bermoral.

Ulama kanan itu, Ayatollah Lotfollah Safi-Golpaygani memberi pandangannya mengenai Facebook dan keahlian warga negaranya dalam web berkenaan ketika sesi soal jawab dengan agensi berita ISNA, semalam. “Pada asasnya, perbuatan melayari mana-mana laman web yang menggalakkan peri laku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah haram. “Hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang peri laku atau etika tidak bermoral, tiada masalah,” katanya.

Hukum Facebook Dalam Islam<
Di Iran, biasa bagi ulama kanannya ditanya mengenai dasar isu sosial sama ada ia sejajar dengan nilai Islam. Jawapan mereka akan dianggap sebagai satu peraturan.

Meskipun kerajaan mengenakan banyak sekatan terhadap internet, seramai 17 juta penduduk Iran ahli Facebook, lapor perangkaan rasmi pada 17 Oktober lalu.

Oleh kerana Facebook popular di kalangan generasi muda, pemerhati percaya bilangan penduduk Islam yang mempunyai akaun Facebook lebih tinggi daripada angka itu.

Iran mempunyai 70 juta penduduk, 60 peratus daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.

Lebih lima juta laman web dikenakan sekatan di Iran tetapi warga negara itu masih mendapatkan akses menggunakan perisian proksi dan rangkaian persendirian maya (VPN). – Agensi


Facebook, Yahudi & Status Hukum
by Zaharuddin.net

Soalan

Ustaz, SYUBHAHKAH menyertai FACEBOOK? ana ada terbaca artikel yang mana pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak pula ditulis oleh pelbagai individu di forum dan blog.

Sebelum ini saya sendiri tidak menggunakan facebook walaupun saya telah membuat beberapa kajian serba ringkas dan membaca semua terma perjanjian yang terkandung di web facebook.

Namun ramai individu meminta dan mencadangkan saya membuka akaun facebook untuk menyebarluaskan lagi dakwah dan ilmu yang terkandung di dalam website saya. Biasanya, permintaan itu saya abaikan, sehinggalah rakan webmaster zaharuddin.net sendiri mencadangkan kepada saya, lalu saya tolak atas alasan kesibukan.

Beliau kemudian mencadangkan dibuka fanpage facebook dan bukannya facebook profile individu bagi mengelak kesibukan yang dibimbangkan tadi. Beliau juga bersetuju membantu proses pembukaan itu dan administrasi.

Atas tanggungjawab dakwah dan web saya yang kerap ditimpa masalah server akhir-akhir ini, saya izinkan beliau memulakan fanpage facebook untuk pengunjung zaharuddin.net. Boleh melawatnya di sini.

Maka sejak dari 28 Dis 2009, saya mula menjenguk facebook zaharuddin.net dan membuat pengisian serba ringkas.

Zaharuddin.net on Facebook

Kembali kepada soalan, dalam menentukan keputusan dan hukum penyertaan facebook, menurut pendapat saya, terdapat beberapa isu yang perlu diperhati dan telah saya perhati sebelum memberi izin kepda rakan webmaster saya. Ia adalah seperti berikut :-

1) Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?
Kesimpulan bagi soalan ini telah saya ulas panjang lebar dalam artikel terdahulu. Baca di sini . Kesimpulannya, adalah dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

2) Apa maksud saudara penyoal dengan ayat ‘menyumbang kepada bangsa Yahudi'?
Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah.

Cuma persoalannya di sini, adalah menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis. Namun adakah dakwaan itu boleh dibuat dan dipercayai semudah itu, tanpa sebarang bukti jelas dan hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?


3) Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini, jika ternyata dari sumber yang sohih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang mana digunakan hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, tatkala itu barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama.

Dalam konteks facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah facebook, tidak menyertakan bukti jelas berkenaan hal ini. Semuanya membuat andaian itu dan ini, sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar boleh mengajak kita untuk berhati-hati dan peka sahaja.

Malah majoriti pengguna facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat tersebut. Kecuali yang menyertai skim-skim yang ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan)

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum. Justeru boleh saya katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat andaian.

Jika dikatakan

"bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap"

Maka jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktviti lain, kerana larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu, Kristian, Buddha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti yang jelas.

Oleh kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukum adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun facebook.

Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syuhbat diketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case'.

Pun begitu, pengguna facebook sukar untuk dibebankan dengan masalah ini keran amereka TIDAK BERJUAL BELI denga facebook, mereka hanya menggunakannya secara percuma. Jika dikatakan, penggunanya menyebabkan trafik facebook menjadi tinggi dan iklan mencurah masuk lalu memberi keuntungan kepada pemilik facebook. Ia juga sukar kerana kesesakan trafik bukanlah bersifat ‘direct' membantu facebook, tambahan pula sebagaimana di katakan tadi, tidak jelasnya sumbangan kepada keganasan Yahudi.

4) Privacy pengguna facebook dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, setelah saya menghabiskan bacaan privacy policy yang terkandung di dalam web facebook, ia memberikan gambaran bahawa gambar, info dan segala yang terkandung di dalam facebook kita boleh tetap wujud di facebook orang lain yang dikongsi, dan saya yakin pihak facebook juga mempunyai simpanan data terbabit.

Policy menyebutkan :

"Even after you remove information from your profile or delete your account, copies of that information may remain viewable elsewhere to the extent it has been shared with others, it was otherwise distributed pursuant to your privacy settings, or it was copied or stored by other users."

Terma ini adakalanya boleh membawa sedikit mudarat jika tidak ditangani dengan bijak oleh pengguna. Namun demikian, terma ini sahaja tidak mampu menjadi keseluruhan facebook sebagai haram.

Selain itu, juga disebutkan :

To respond to legal requests and prevent harm. We may disclose information pursuant to subpoenas, court orders, or other requests (including criminal and civil matters) if we have a good faith belief that the response is required by law. This may include respecting requests from jurisdictions outside of the United States where we have a good faith belief that the response is required by law under the local laws in that jurisdiction, apply to users from that jurisdiction, and are consistent with generally accepted international standards. We may also share information when we have a good faith belief it is necessary to prevent fraud or other illegal activity, to prevent imminent bodily harm, or to protect ourselves and you from people violating our Statement of Rights and Responsibilities. This may include sharing information with other companies, lawyers, courts or other government entities."

Berdasarkan kepada terma di atas. Sebenarnya pihak facebook mempunyai hak untuk mendedahkan informasi kita kepada mana-mana berdasarkan alasan yang disebut di atas. Tiada takrif jelas bagi yang disebut di atas, semua masih tetap terpulang kepada keputusan pihak facebook. Maka menyerahkan info dan gambar kita kepada syarikat tertentu, CIA, FBI atau apa jua badan kerajaan adalah hak facebook jua.

Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan pengunaan facebook sebagai haram, apa yang perlu adalah kawalan dan had limit.


KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.

Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.

Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-

a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.

Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
19 Muharram 1431 h
05 Januari 2010


Hukum Facebook Menurut Islam

Facebook adalah laman sesawang yang sangat popular dan sangat mudah berkomunikasi di seluruh dunia. Facebook juga merupakan laman yang sangat efektif untuk menyebarkan apa-apa maklumat dan apa-apa iklan perniagaan, kerana ia dapat dilihat oleh semua orang seluruh dunia. Lazimnya facebook digunakan untuk ahlinya berkomunikasi bersama kawan-kawannya dan juga kemudahan untuk soal-soal tugasan atau pekerjaan. Ada individu mengunakan facebook untuk mengisi masa lapangnya, ada mengunakan facebook untuk mencari kawan-kawan lama, ada mengunakan facebook untuk perniagaan dan sebagainya.

Pengasas Facebook, iaitu Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi-Amerika dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County, New York. Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara ‘tokoh paling berpengaruh dunia 2008′, iaitu sebaris dengan nama besar Barrack Obama dan Dalai Lama. majalah Forbes Top400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke-321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008. Namun apa yang lebih penting, Zuckerberg merupakan individu termuda pernah disenaraikan Forbes, ketika usianya baru mencecah 24 tahun dengan kekayaan peribadi sebanyak USD1.5 billion. Facebook telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD300 juta pada tahun 2008.

Status hukum menggunakan Facebook dalam Islam

Menurut Ustaz Zaharuddin dalam blognya berkata :

“Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.”

Katanya lagi :

“Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk tidak membuka dan menyertai facebook. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.”

Hujah yang mengatakan harus adalah disandarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari)

Muamalah Islam tidak melarang umatnya untuk berniaga atau urusan keduniaan dengan orang bukan Islam, kerana ini tidak melibatkan perkara yang dilarang oleh agama Islam. Sebagai ingatan, selagimana muamalah atau urusan keduniaan itu tidak melibatkan agama atau sensitiviti agama, maka selagi itulah ianya menjadi harus. Kalau melibatkan sensitiviti agama, maka ia jatuh haram.

Pandangan saya mengenai hukum menggunakan Facebook menurut Islam

Pertama : Harus
Facebook merupakan medan yang paling baik untuk menyebarkan dakwah, kerana ianya luas dan tiada tapisan, setiap berita yang dimasukkan akan dilihat oleh semua orang seluruh dunia. Saya juga mempunyai akaun facebook dan saya hanya menggunakan akaun facebook untuk menyebarkan artikel-artikel blog saya yang berkaitan dakwah kepada sahabat-sahabat di facebook dan jarang saya gunakan facebook untuk sembang-sembang kosong dan tidak pernah sembang perkara-perkara yang laqa atau tidak berfaedah.

Harus juga bagi sesiapa yang menjadikan facebook sebagai tempat mencari kawan-kawan lama, menjadikan facebook sebagai medan pertanyaan, menjadikan facebook sebagai urusan pekerjaan dan seumpamanya. Kerana aktiviti ini tidak bercanggah dengan Amal makruf dalam Islam.

Kedua-dua perkara di atas ini tidak melibatkan transaksi kewangan kepada facebook dan ianya semata-mata sosial. Ada orang mengatakan bahawa sebahagian keuntungan facebook akan diberikan kepada negara haram Israel. Awas!!! Jangan sesekali klik kepada iklan yang terdapat di sisi kanan facebook, kerana facebook akan memperolehi duit dari iklan tersebut.

Kedua : Haram
Jika facebook dijadikan sebagai tempat untuk mencari kesilapan orang, mengutuk orang, menghina orang, menyebarkan perkara yang dilarang oleh Islam, menyebarkan fitnah, laqa sehingga lupa solat dan sebagainya, maka ini menjadi haram, kerana Islam melarang umatnya melakukan perkara yang sia-sia dan perkara sia-sia itu adalah sifat syaitan dan mazmumah.

Menyertai segala skim atau pelaburan yang ditawarkan oleh facebook, sepertimana skim infinity downline, iklan perklik facebook dan sebagainya, maka ini menjadi haram kerana bisnes tersebut bercanggah dengan muamalah Islam dan sedikit sebanyak menyumbangkan dana kepada negara haram Israel untuk membunuh umat Islam Palestin.

Kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pendapat saya, maka itu tidak mengapa dan mungkin anda mempunyai hujah yang tersendiri. Pesanan saya lagi, setiap perkara yang dilakukan bersandarlah kepada 4 sumber hukum Islam iaitu Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas atau bersandarlah kepada dalil naqli dan aqli. Berbeza pendapat adalah fitrah kejadi manusia. Selagimana setiap perkara itu tidak mempunyai dalil qat’i atau dalil yang jelas mengatakan itu adalah haram, maka selagi itulah kita perlu merujuk kepada yang alim atau berijtihad (orang yang ada ilmu sahaja) bersandarkan dalil naqli dan qat’i.

Orang yang ragu-ragu dan takut, maka lebih baik tolak terus dan jangan menggunakan facebook. Perbuatan ini lebih baik dan orang tersebut tidak was-was dan ragu-ragu lagi akan tindakkannya. Kaedah Islam lebih baik elak dari melakukan perkara yang subhah atau tidak jelas halal dan haramnya. Janganlah pula terus menuding jari mengatakan ustaz-ustaz yang ada akaun facebook itu tak betul atau menyokong Yahudi membunuh umat Islam Palestin. Anda semua perlu faham, setiap ustaz itu ada hujahnya tersendiri dan hujah mereka selalunya bersandarkan kepada nas-nas Al-Quran, Hadis dan pendapat ulamak yang muktabar.


BAGAIMANA HUKUM FACEBOOK?
Oleh ENGR. MOFAS

Salamun’alaikum…

Alhamdulillah, setelah satu artikel tulisan penulis berkaitan Facebook yang bertajuk ‘Ada Apa Dengan Facebook‘ telah mendapat respon yang agak menggalakkan tidak kira yang respon di dalam blog ini, mahupun pada mereka yang memberi respon melalui email dan juga SMS. Ditambah pula dengan artikel ‘gurauan’ yang bertajuk ‘Gambar Hari Ini : Facebook Zaman Dulu-Dulu‘. Ada yang memberi respon dalam nada bergurau yang mengatakan penulis sememangnya anti-Facebook. Mungkin betul juga (huhu)…

Namun untuk artikel kali ini, penulis cuba mengetengahkan satu artikel yang sangat baik untuk dikongsikan bersama dengan pembaca budiman sekalian. Ada beberapa sahabat penulis bertanyakan tentang asal hukum Facebook. Sememangnya telah ramai pakar agama mengatakan hukum Facebook itu adalah harus, tetapi tidak dijelaskan bagaimana asal hukum harus itu dikeluarkan. Bagi sesetengah orang, memadai bagi mereka untuk sekadar mengetahui hukum sesuatu perkara itu, namun bagi sesetengah yang lain pula mempunyai semangat ingin tahu yang mendalam tentang bagaimana sesuatu hukum itu dikeluarkan.

Untuk menjelaskan persoalan ini, maka penulis mengeluarkan satu entri khas yang dicedok dari hasil tulisan seorang muslimah yang menggunakan nama samaran sebagai ‘Ummu Taufiq & Ridhwan’ dari laman Discussion Room. Satu penulisan yang sangat baik pada perkiraan penulis. Tulisannya penulis ambil kesemuanya tanpa sebarang perubahan dari struktur ayat, cuma dimurnikan sedikit dari ejaan supaya kelihatan lebih formal.

Moga bermanfaat buat semua.


HUKUM MENGGUNAKAN FACEBOOK
http://mofas.wordpress.com


Salamun’alaikum…

Alhamdulillah, dapat diperhatikan bahawa ruangan ini adanya satu perbincangan yang sihat untuk sama-sama kita membuka minda. Di sini saya pula ingin memberi pendapat untuk memenuhi hak seorang suami ke atas diri ini. Sekadar pendapat peribadi maka dengan itu tidak wajib untuk pembaca lain sependapat dengan saya.

Para pembaca yang semoga dirahmati oleh Allah Ta’ala. Kebelakangan ini telah wujud pelbagai laman perhubungan ataupun yang dikenali sebagai social community ataupun social networking. Maka dengan itu, wujudlah pelbagai persoalan berkaitan dengan hukum menggunakannya dan sebagainya.

Dalam masa yang terbatas ini, atas permintaan suami, maka dengan izin dan pertolongan Allah saya akan cuba memberikan sedikit pernghuraiannya moga perkara ini dapat dilihat dari pelbagai sudut sisi.

Apakah hukum menggunakannya?

Untuk menentukan sesuatu hukum itu, maka dua kaedah mesti diperhatikan. Hasil penelitian dari Al-Qur’an dan As-Sunnah, para ulama membuat dua kaedah usul-fiqh seperti berikut :

    Hukum asal untuk perkara ibadah adalah terlarang dan tidaklah disyariatkan sehinggalah Allah dan Rasul-Nya mensyariatkannya.
    Sebaliknya, hukum asal untuk perkara ‘aadat (perkara bukan ibadah) adalah dibolehkan (diharuskan) dan tidak diharamkan sehinggalah Allah dan Rasul-Nya melarangnya atau mengharamkannya.

Untuk kaedah pertama iaitu hukum asal setiap perkara ibadah adalah terlarang sampai ada dalil yang mensyariatkannya. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa ibadah adalah sesuatu yang diperintahkan atau dianjurkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang memerintahkan atau menganjurkan suatu amalan yang tidak ditunjukkan oleh Al Qur’an dan hadits, maka orang seperti ini bererti telah mengada-ada dalam beragama (berbuat bid’ah). Amalan yang dilakukan oleh orang semacam ini pun tertolak kerana Nabi S.A.W telah bersabda,

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak.” (HR. Muslim)

Namun, untuk perkara ‘aadat (bukan ibadah) seperti makan, minum, pakaian, pekerjaan, dan mu’amalat, hukum asalnya adalah diperbolehkan kecuali jika ada dalil yang mengharamkannya. Dalil untuk kaedah kedua ini adalah firman Allah Ta’ala,

“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu”. (Al-Baqarah: 29).

Maksudnya, adalah Allah menciptakan segala yang ada di muka bumi ini untuk dimanfaatkan. Ini bererti diperbolehkan selama tidak dilarang oleh syari’at dan tidak mendatangkan bahaya.

Allah Ta’ala juga berfirman,

“Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat .” Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Al-A’raaf: 32).

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengingkari siapa saja yang mengharamkan makanan, minuman, pakaian, dan semacamnya.

Jadi, sebagai contoh jika ada yang bertanyakan mengenai hukum memakai tali leher? Apa hukumnya? Maka jawapannya adalah memakai tali leher itu sah, harus (halal) dan diperbolehkan.

Jadi, untuk perkara bukan ibadah seperti tadi, hukum asalnya adalah halal dan diperbolehkan kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Tetapi apabila adanya dalil yang mengharamkan maka asal hukum harus bertukar menjadi haram. Sebagai contoh asal hukum lelaki memakai tali leher adalah harus dan diperbolehkan tetapi ia berubah menjadi haram apabila tali leher itu dibuat dari sutera asli. Pakaian sutera bagi laki-laki diharamkan kerana ada dalil yang menunjukkan demikian.

Oleh kerana itu, jika ada yang bertanyakan bagaimana hukum Facebook? Maka hukum asal Facebook adalah sebagaimana handphone, email, blog, internet, radio, dan alat-alat teknologi lainnya iaitu sama-sama mubah dan diperbolehkan.

Hukum Menggunakannya sama dengan Hukum Tujuan

Perkara mubah (yang dibolehkan) itu ada dua macam. Ada perkara mubah yang dibolehkan dilihat dari zatnya dan ada pula perkara mubah yang menjadi wasilah (perantara) kepada sesuatu yang diperintahkan atau sesuatu yang dilarang.

Syeikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di –rahimahullah- mengatakan,

“Perkara mubah dibolehkan dan diizinkan oleh syariat untuk dilakukan. Namun, perkara mubah itu dapat pula digunakan kepada hal-hal yang baik maka dia digolongkan dalam hal-hal yang diperintahkan. Perkara mubah terkadang pula digunakan pada hal yang buruk, maka dia digolongkan dalam hal-hal yang dilarang. Inilah landasan yang harus diketahui setiap muslim bahawa hukum menggunakannya sama dengan hukum tujuan (al wasa-il laha hukmul maqhosid).”

Maksud perkataan beliau di atas:

Apabila perkara mubah tersebut digunakan pada kebaikan, maka perkara mubah tersebut diperintahkan, baik dengan perintah yang wajib atau pun yang sunnah. Orang yang melakukan mubah seperti ini akan diberi ganjaran sesuai dengan niatnya.

Misalnya : Tidur adalah suatu perkara yang mubah. Namun, jika tidur itu boleh membantu dalam melakukan ketaatan pada Allah atau boleh membantu dalam mencari rezeki, maka tidur tersebut menjadi mustahab (dianjurkan/ disunnahkan) dan akan diberi ganjaran jika diniatkan untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah.

Begitu pula jika perkara mubah digunakan pada sesuatu yang dilarang, maka hukumnya pun menjadi terlarang, baik dengan larangan haram mahupun makruh.

Misalnya : Menjual pisau adalah mubah namun ia bertukar menjadi haram apabila pisau itu digunakan untuk tujuan buruk seperti membunuh dan sebagainya.

Contoh lainnya adalah makan dan minum dari dari sumber yang halal hukum asalnya adalah mubah, namun apabila dimakan secara berlebihan sehingga boleh merosakkan sistem pencernaan, maka hukumnya adalah makruh dan boleh jatuh haram.

Contoh yang lain yang ingin saya bawakan di sini untuk menerangkan bagaimana asal hukum yang harus atau sunat boleh bertukar makruh atau haram adalah seperti bersenda gurau. Bergurau senda asalnya adalah mubah. Sebahagian ulama mengatakan, “bergurau senda itu bagaikan garam untuk makanan. Jika terlalu banyak tidak enak, terlalu sedikit juga tidak enak.” Jadi, jika bergurau senda tersebut sampai melalaikan dari perkara yang wajib seperti solat atau mengganggu orang lain, maka bersenda gurau tersebut menjadi terlarang.

Oleh kerana itu, jika sudah ditetapkan hukum pada tujuan, maka menggunakan (perantara) menuju tujuan tadi akan memiliki hukum yang sama. Perantara pada sesuatu yang diperintahkan, maka perantara tersebut diperintahkan. Begitu pula perantara pada sesuatu yang dilarang, maka perantara tersebut dilarang pula.

Contohnya : Menunaikan solat lima waktu adalah sebagai tujuan. Dan berjalan ke tempat solat (masjid) adalah wasilah (perantara). Maka kerana tujuan tadi wajib, maka wasilah di sini juga turut menjadi wajib. Ini berlaku untuk perkara sunnah dan seterusnya.

Hukum Facebook adalah Tergantung Pemanfaatannya

Jadi perkara pentingnya di sini, hukum facebook ataupun social community atau social networking yang lain adalah tergantung pada pemanfaatannya. Kalau pemanfaatannya adalah untuk perkara yang sia-sia dan tidak bermanfaat, maka laman-laman social networking pun turut bernilai sia-sia dan hanya membuang waktu. Begitu pula jika ia digunakan untuk perkara yang haram, maka hukumnya pun menjadi haram. Hal ini semua termasuk dalam kaedah “al wasa-il laha hukmul maqhosid (hukum menggunakannya sama dengan hukum tujuan).” Di dalam kaedah ini terdapat kaedah turunan iaitu:

1. Maa laa yatimmul wajibu illah bihi fa huwa wajib (Suatu yang wajib yang tidak sempurna kecuali dengannya, maka menggunakannya menjadi wajib)
2. Maa laa yatimmul masnun illah bihi fa huwa masnun (Suatu yang sunnah yang tidak sempurna kecuali dengan menggunakannya, maka menggunakannya menjadi wajib)
3. Maa yatawaqqoful haromu ‘alaihi fa huwa haromun (Suatu yang boleh menyebabkan terjerumus pada yang haram, maka menggunakan sesuatu menuju yang haram tersebut menjadi haram)
4. Wasail makruh makruhatun (Perantara kepada perkara yang makruh juga dinilai makruh)

Maka lihatlah kaedah yang ketiga di atas. Perkara pentingnya, jika laman social digunakan untuk yang haram dan sia-sia, maka laman tersebut menjadi haram dan terlarang.

Dari statistik menunjukkan bahawa terdapat pengguna laman social menggunakan laman-laman ini untuk mencari teman-teman yang berlawanan jenis dan kemudian terjerumus ke lembah maksiat. Dari statistik juga dapat diketahui ada segelintir anak-anak gadis yang dirogol oleh teman yang baru pertama kali dijumpai yang mana mereka berkenalan di laman social tersebut. Jika memang laman-laman ini banyak digunakan untuk tujuan-tujuan seperti ini, maka sungguh dikatakan, “Hukum laman social sebagaimana hukum pemanfaatannya. Kalau dimanfaatkan untuk yang haram, maka laman social pun menjadi haram.”

Waktu yang Sia-sia Di Depan laman social

Wahai pembaca budiman, inilah yang ingin diingatkan untuk para pengguna laman social. Ingatlah waktumu! Kebanyakan orang boleh berjam-jam di depan komputer, sampai 3 jam malah lebih, namun mereka tidak mampu menggunakan masa yang sama untuk majlis-majlis ilmu, membaca Al-Qur’an dan juga membaca buku. Perkara inilah yang sangat disayangkan.

Semoga beberapa nasihat ulama kembali menyedarkan kita tentang waktu dan hidup kita.

Imam Asy-Syafi’e pernah mengatakan,

“Aku pernah bersama dengan seorang sufi. Aku tidaklah mendapatkan pelajaran darinya selain dua perkara. Pertama, dia mengatakan bahawa waktu bagaikan pedang. Jika kamu tidak memotongnya (memanfaatkannya), maka dia akan memotongmu.”

Lanjutan dari perkataan Imam Asy-Syafi’e di atas,

“Kemudian orang sufi tersebut menyebutkan perkataan lain: Jika dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal yang baik (haq), pasti akan disibukkan dengan hal-hal yang sia-sia (batil).” (Al Jawabul Kafi, 109, Darul Kutub Al ‘Ilmiyah)

Ibnu Qayyim mengatakan,

“Waktu manusia adalah umurnya yang sebenarnya. Waktu tersebut adalah waktu yang dimanfaatkan untuk mendapatkan kehidupan yang abadi dan penuh kenikmatan dan terbebas dari kesempitan dan azab yang pedih. Ketahuilah bahawa berlalunya waktu lebih cepat dari berjalannya awan (mendung). Barangsiapa yang waktunya hanya untuk ketaatan dan beribadah pada Allah, maka itulah waktu dan umurnya yang sebenarnya. Selain itu tidak dinilai sebagai kehidupannya, namun hanya teranggap seperti kehidupan binatang ternak.”

Ingatlah … kematian lebih layak bagi orang yang menyia-nyiakan waktu.

Ibnu Qayyim mengatakan perkataan selanjutnya yang sangat menyentuh kalbu,

“Jika waktu hanya dihabiskan untuk hal-hal yang membuat lalai, untuk sekadar menghamburkan syahwat (hawa nafsu), berangan-angan yang batil, hanya dihabiskan dengan banyak tidur dan digunakan dalam kebatilan, maka sungguh kematian lebih layak bagi dirinya.” (Al Jawabul Kafi, 109)

Marilah Memanfaatkan laman social untuk Dakwah

Inilah pemanfaatan yang paling baik iaitu laman social community, social networking dimanfaatkan untuk dakwah. Betapa ramainya orang yang kembali ke pangkal jalan apabila dikirimkan pesanan-pesanan berbaur nasihat agama yang dibaca di inbox, note atau melalui link-link di laman social community mereka yang menggunakannya untuk berdakwah. Banyak yang sedar, insaf dan kembali kepada jalan kebenaran kerana membaca nasihat-nasihat tersebut.

Jadilah orang yang bermanfaat bagi orang lain apatah lagi dalam masalah agama yang dapat mendatangkan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Dari Jabir, Nabi S.A.W bersabda,

“Sebaik-baik manusia adalah yang banyak memberikan manfaat bagi orang lain.” (Al-Jaami’ Ash-Shogir)

Dari Abu Mas’ud Al-Anshari, Nabi S.A.W bersabda,

“Barangsiapa memberi petunjuk pada orang lain, maka dia mendapat ganjaran sebagaimana ganjaran orang yang melakukannya.” (HR. Muslim)

Rasulullah S.A.W juga bersabda,

“Jika Allah memberikan hidayah kepada seseorang melalui perantaraanmu maka itu lebih baik bagimu daripada mendapatkan unta merah (harta yang paling berharga bagi orang Arab saat itu).” (HR. Bukhari dan Muslim)

Lihatlah wahai saudaraku pembaca budiman, bagaimana jika tulisan kita di dalam note, status, atau link di laman-laman social kita dibaca oleh 5, 10 malah ratusan orang, lalu mereka amalkan, betapa banyak pahala yang kita peroleh. Jadi, laman social jika dimanfaatkan untuk dakwah seperti ini, sungguh sangat bermanfaat.

Penutup: Nasihat bagi Para Pengguna Laman Social

Faedah dari perkataan Imam Asy-Syafi’e:

“Jika dirimu tidak disibukkan dengan hal-hal yang baik, pasti akan disibukkan dengan hal-hal yang sia-sia (batil)”. (Al Jawabul Kafi, 109)

Tamat
Saya berdoa pada Allah Ta’ala, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah buat semua pembaca budiman yang membaca tulisan ini. Semoga ia menjadi bekalan untuk saya, suami, anak-anak, serta tuan punya blog (adik Mofas) dan juga bekalan untuk pembaca sekalian. Semoga kita dimudahkan oleh Allah untuk memanfaatkan waktu dengan baik, dalam hal-hal yang bermanfaat.

Ummu Taufiq & Ridhwan
http://mofas.wordpress.com

17 December 2011

Tukar Timeline Facebook Anda Sebelum Rahsia Anda Terdedah!

 AMARAN! Tukar timeline Facebook anda sebelum privasi dan segala rahsia anda terdedah. Bahaya!

Sekarang facebook ada timeline oleh itu kita mesti tahu bagaimana nak tukar timeline facebook segera. Kita boleh  tukar timeline kepada profile lama atau tidak. Ramai orang sudah susah hati kerana perlu tukar timeline di facebook. Jika ada yang lupa untuk ubah facebook timeline ke facebook asal maka dia pasti berasa sangat susah hati. Oleh itu, apa pendapat anda tentang facebook timeline ini bagus atau tidak. Saya mahu tukar facebook timeline kerana saya tidak nampak ada kelebihan timeline di facebook oleh itu saya mahu tahu bagaimana untuk menukar facebook kepada yang asal kerana mesti ada cara untuk tukar timeline ke asal juga. Macam mana mahu tukar facebook timeline ke asal kerana mesti ada cara buang timeline dalam facebook yang mengganggu privasi.

Facebook Timeline atau dalam bahasa Melayu yang bermaksud kronologi dalam facebook profile sedang hangat diperkatakan. Facebook timeline mula diperkenalkan pada hujung bulan September 2011 kepada pembuat pembuat aplikasi facebook. Facebook timeline kemudian berkembang dan boleh dicuba oleh pengguna biasa “yang bijak ” dengan hanya beberapa langkah melalui penggunaan sistem aplikasi facebook.

Facebook timeline pada asalnya boleh diubah pada keadaan asal kini tidak lagi boleh ditukar sesuka hati. Sekiranya anda sudah menukar profile ke facebook timeline. Ia akan kekal dan tidak boleh ditukar kembali. Bermula 8 Disember, profile pembuat aplikasi facebook dan ahli biasa yang pernah menggunakan facebook timeline ini telah bertukar secara automatik. Hal ini kerana facebook telah mengumumkan penggunaan facebook timeline ini secara meluas bermula pada 22 Disember 2011. Pengumuman ini diumumkan lebih awal kerana terdapat pro dan kontra semasa menggunakan facebook timeline ini.

Pengguna facebook diingatkan agar menukar kepada facebook timeline dan ubah setting sekarang. Facebook timeline membenarkan seseorang untuk melihat segala status anda dari hari pertama anda menggunakan facebook. Jadilah antara yang terawal menggunakannya kerana anda perlu membiasakan diri untuk menggunakan facebook timeline ini dan untuk mengelakkan anda terlupa mengubah privacy anda apabila tiba hari yang ditetapkan pada iaitu pada 22 Disember 2011 nanti.

Fungsi terbaru facebook ini sedikit sebanyak memberikan impak yang besar kepada pengguna facebook timeline. Bagi yang telah pun menggunakan facebook timeline ini, ada yang menyukainya dan ada juga yang tidak. Tetapi pengguna tetap tiada pilihan untuk menggunakan fungsi yang asal kerana facebook ada kuasa mutlak untuk menukar apa sahaja biarpun sehingga menutup laman web itu sendiri.

Penggunaan facebook timeline ini sebenarnya tidak banyak berbeza dengan profile yang asal. Sekiranya status anda kelihatan kecil pada profile, anda masih boleh membesarkannya dengan memilih fungsi featured. Anda juga boleh sembunyikan status yang tidak mahu dipaparkan, serta membuang mana mana yang tidak perlu. Sekiranya anda mahu membuang masa, anda boleh scroll ke bawah profile dan melihat status status anda yang lama lama dan ketawa sendirian =p .

Keburukan facebook timeline ini adalah seperti pendedahan kepada status lama-lama anda yang boleh juga membawa kepada pergaduhan atau prasangka buruk teman teman yang melihatnya [ terutama yang sudah berubah ]. Privacy seseorang seperti diketepikan sama sekali sebelum anda sendiri perlu setting kembali privacy tersebut. Adakah facebook ingin mengikut jejak langkah MySpace iaitu melakukan beberapa perubahan yang tidak bermanfaat dan akhirnya pengguna lari menggunakan platform social networking yang lebih baik?

Kelebihan facebook timeline ini, anda boleh memaparkan “cover” atau banner yang terletak pada bahagian paling atas profile itu. Saiz cover yang baik adalah berukuran 851px x351px. Penggunaan cover ini sedikit sebanyak meredakan pengguna yang tidak menyukai facebook timeline ini pada awalnya. Penambahan cover ini seolah-olah anda mempunyai laman sendiri seperti di dalam blog.

31 August 2008

Facebook: The Movie - Filem Facebook Bakal Diterbitkan Di Hollywood


Gambar Mark Zuckerberg dan Michael Cera

HOLLYWOOD, 29 OGOS 2008 - Michael Cera yang pernah berlakon dalam filem Juno, Superbad dan sitkom Arrested Development telah disebut-sebut untuk memegang peranan sebagai CEO Facebook - Mark Zuckerberg dalam filem Facebook: The Movie.

Skrip projek filem Hollywood ini akan ditulis oleh Aaron Sorkin. Filem ini akan berkisarkan mengenai suka duka kehidupan pengasas Facebook tersebut dalam usaha untuk merealisasikan laman web sosial tersebut, Mark Zuckerberg semasa di Universiti Harvard.

Scott Rudin yang juga merupakan bakal penerbit filem Facebook: The Movie, dikatakan telah berbincang dengan Aaron Sorkin mengenai perancangan untuk menerbitkan filem ini.



Setiap isu hangat atau berita panas seperti skandal artis, kisah kontroversi atau cerita sensasi yang disiarkan di blog isuberitahangat.blogspot.com ini telah cuba ditapis dan disunting semula supaya tidak memberi malu dan aib kepada individu -individu berkaitan. Semoga pendedahan ini akan memberi pengajaran kepada kita semua supaya jangan melampaui batas dalam pergaulan dan mana-mana urusan harian.