Showing posts with label Jambu. Show all posts
Showing posts with label Jambu. Show all posts

06 June 2011

Maharaja Lawak - Jambu Gegar Pulau Pinang

Jambu terus gah
HMETRO

PENAMPILAN gaya dua rockers yang kurang upaya mengadakan konsert, berjaya menambat hati ribuan penonton dan panel juri apabila Pusat Sukan Arena Antarabangsa (PISA) Pulau Pinang bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh lebih 10,000 penonton.

Itulah kelebihan dimiliki Jambu yang dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) apabila Maharaja Lawak minggu ke-10 yang diadakan di lokasi jelajah di Pulau Mutiara, mendapat sambutan.

Tugasan selama tujuh minit yang diberikan untuk membuat persembahan, digunakan sebaik mungkin di samping jenaka yang bersahaja membuatkan penonton tidak kering gusi.

Sebelum persembahan dimulakan, jumlah peratusan undi mereka amat berbeza apabila Jambu hanya mendapat kedudukan keempat dengan 19 mata manakala peserta lain, Jozan (29 peratus) diikuti Sepah (27), Nabil (21) dan R2 hanya lima peratus.


Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk Jambu cepat melatah dan hilang semangat sebaliknya terus melakukan usaha terbaik dan akhirnya berjaya apabila selepas persembahan, kedudukan Jambu berubah secara mendadak serta merampas kedudukan Jozan, Sepah dan mengungguli tempat teratas serta mendapat pujian juri profesional.


Jambu memperoleh 59 peratus diikuti Sepah dan Jozan (55), Nabil (50) dan R2 (33 peratus), membuatkan Jozan, Nabil dan R2 berada pada kedudukan tiga kumpulan mendapat undian paling rendah. Ketiga-tiga mereka perlu bekerja keras untuk memastikan tidak tersingkir walaupun minggu ini tiada sebarang penyingkiran.

Juri profesional terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek, memberikan pelbagai komen termasuk menegur persembahan Nabil yang kurang mantap seperti kehilangan punca, begitu juga R2.

Persembahan minggu ke-10 dilihat agak menarik dan setiap peserta menampilkan gaya serta kehidupan gender manusia seperti lelaki lembut, wanita mengandung, tukang gunting dan budak gemuk.

Bagi Yus, walaupun Jambu diberi pujian mereka tetap merendah diri. Katanya, mereka tekankan ‘punch line’ yang dilakukan setiap 15 saat secara bergilir-gilir.

“Apa yang kami harapkan, penonton dan peminat terhibur kerana kami akan senantiasa menampilkan kelainan untuk setiap tugasan supaya meninggalkan kenangan seperti lawak jenaka pada minggu-minggu sebelumnya.

“Saya amat berterima kasih kepada Saiful Apek kerana memberi pandangan positif apabila memuji usaha menggambarkan dua rockers yang kurang upaya sehingga mengamit sorakan dan tepukan penonton.

“Biarpun memuji setiap minggu persembahan yang konsisten, beliau sempat berpesan agar tidak terlalu selesa kerana untuk menjadi juara, perlu kekalkan prestasi yang baik,” katanya.

Bagi Nabil, teguran diberikan Mamat Khalid diambilnya dengan tangan terbuka kerana dia beraksi secara berseorangan dan mengaku punch line kurang selain menekankan elemen nasihat dan teguran.

Baginya, dia tidak langsung memandang rendah golongan berbadan besar kerana ianya adalah gurauan semata-mata, namun percaya apa yang berlaku disebabkan tumpuan dan fokus secara tiba-tiba hilang.

“Sekiranya minggu ini saya tersingkir, pastinya ramai yang terkejut. Bagaimanapun, sedia menerimanya dengan rasa terbuka biarpun sebelum ini setiap minggu menerima pujian juri.

“Suka atau tidak, bukannya masalah dan menyerahkan kepada peminat untuk menilai serta memohon keberkatan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, pasangan adik-beradik yang kembali beraksi di pentas Maharaja Lawak melalui undian masuk, R2 melahirkan rasa kecewa terutama Ridhzuan apabila gugup melihat penonton yang ramai.

Ridhzuan berkata, dia seperti tidak menyangka kehadiran penonton yang ramai membuatkan punch line yang dilakukan seolah-olah hilang. Namun sokongan abang, Rahim membuatkan dirinya tabah menghadapi.

“Apa yang penting, R2 akan berusaha sedaya upaya walaupun berada pada kedudukan terbawah dan mengharapkan sokongan peminat agar terus mengundi R2,” katanya.

Bagi Ketua Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, dia melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar jangkaan penonton apabila lokasi pertama di PISA, berjalan lancar.

Katanya, walaupun mereka terpaksa berbaris panjang mengambil pas percuma yang diberikan selama dua hari, objektif Astro memberi penghargaan kepada penonton tercapai.

“Ini jelas dilihat pada wajah penonton yang hadir tergambar kepuasan walaupun ada yang menyangka berlaku penyingkiran. Namun segalanya meleset dan semua peserta selamat.

“Penyingkiran tetap akan berlaku dan mungkin minggu depan atau minggu seterusnya kerana setiap minggu tetap ada kejutan. Saya mengharapkan sokongan penonton tidak akan terhenti begitu saja,” katanya.

Lokasi seterusnya ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang, Jumaat ini dan lokasi terakhir di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, 17 Jun depan.

Maharaja Lawak Jambu dan Bayang-bayang Juara

SUATU ketika dulu, kita mempunyai pelawak pentas antaranya Datuk Jamali Shadat, Ali Mamak, Allahyarham Yusof Chong dan mendiang Param. Aksi mereka memang cukup menghiburkan.

Namun, zaman bersilih ganti dengan persembahan lawak pentas tidak lagi diwujudkan hingga program realiti Raja Lawak terbitan Astro muncul pada 2007. Respons diterima cukup menggalakkan dan berjaya mengangkat lima juara, Yusry Edoo (musim pertama) diikuti Nabil (2008), kumpulan Sepah (2009), kumpulan Kecik (2010) dan terbaru, Man.

Kehangatan Raja Lawak diteruskan apabila produksi Astro menerbitkan Maharaja Lawak (ML) yang mengumpulkan semua finalis Raja Lawak.

Ternyata sambutannya begitu hebat. Ramai penonton sanggup bersesak menyaksikan program ini yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna dari Studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang.


Begitu juga saingan antara peserta yang bertanding lebih mencabar. Selepas tujuh minggu program ini berlangsung, graf persembahan turun naik mengikut tema berbeza setiap minggu.


Jika minggu sebelumnya menyaksikan Nabil dan kumpulan Jozan (Zizan dan Johan) menjadi peserta kegemaran menduduki tangga teratas, sebaliknya minggu lalu menyaksikan kumpulan Jambu dianggotai Yusry Edoo (Yus) bersama Zamaratul Amri Zakaria (Tauke) merampas takhta.

Setiap minggu persembahan Jambu juga menjadi perhatian penonton hingga mereka mempunyai peminat setia yang ramai. Minggu lalu, Jambu berjaya menghiburkan juri dan penonton dengan sut renang merah jambu menggayakan aksi di kolam renang, ‘surfing’ dan gimnas berirama mengikut tema persembahan, Komedi Senyap.

Jambu meraih 60 markah diikuti Jozan (58), Sepah (54), Nabil (52), Balas (42) dan Amir (26). Merancakkan suasana program ini, wartawan Rap, Elrafaei Sapi (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) menemu bual salah seorang anggota Jambu, Tauke untuk berbicara lanjut mengenai kemenangan awal mereka minggu lalu.


RAP: Apa komen anda selepas Jambu menduduki tangga teratas minggu lalu?

TAUKEH: Memang kami tidak sangka berada di atas. Matlamat kami ketika membuat persembahan hanya mahu buat orang gelak dan tidak terfikir langsung menjadi peserta nombor satu. Kami anggap kejayaan awal ini sebagai rezeki dan doa kami hiburkan penonton termakbul.

Kami sebenarnya sentiasa bekerja keras dan buat sebaik mungkin setiap kali beraksi. Ketika latihan, kami berikan sepenuh fokus.

Merujuk persembahan minggu lalu, sepatutnya ada satu lagi lagu rancak tidak dipasang, tetapi ia tidak memberi impak pada persembahan dan penonton juga tidak perasan. Kami lebih gembira apabila dapat sorakan gemuruh penonton dan ini menandakan graf persembahan kami meningkat. Jika penonton di studio suka, kami juga percaya penonton di rumah juga terhibur.

Sebagai pelawak, saya berasakan membuat orang gelak adalah sangat sukar. Kami selalu memikirkan apabila kami sendiri susah gelak, apatah lagi penonton. Ketika beraksi, kami juga selit idea spontan untuk menjadikan persembahan itu lebih menarik. Apapun, kami bersyukur dengan pencapaian kami minggu lalu dan ini memberi kejutan. Kami anggap peserta lain hebat dan mempunyai nama besar berbanding kami sendiri. Jika kami tersingkir sekalipun, kami berharap agar persembahan kami sentiasa menang di hati penonton.


RAP: Bagaimana pengalaman ditimba selama berada dalam program ini?

TAUKEH: Pengalaman yang dilalui memang cukup mencabar. Berbanding jika dapat persembahan pentas sebulan sekali, kami mempunyai masa fikirkan idea.

Namun, bila persembahan diadakan setiap minggu, kami kena cepat fikir apa idea untuk persembahan seterusnya. Prinsip kami, sentiasa hormat program ini agar kami dapat hiburkan penonton. Setiap kali perah idea hingga persembahan, kami buat bersungguh-sungguh dan tidak mahu bersikap sambil lewa. Kami mahu lawak yang disampaikan memberi kesan pada penonton.

Sebenarnya, kami berentap dengan diri sendiri untuk menjadi terbaik dan meletakkan harapan untuk ke final nanti. Ketika sertai Raja Lawak dulu, saya pernah rasakan diri cukup bagus, tetapi menuntut ilmu itu tiada penghujung. Jika berasakan diri bagus, ada orang lain lebih bagus. Maharaja Lawak memberi pengalaman baru pada kami dan tidak mahu berasa selesa dengan kedudukan sekarang. Bagi kami, pujian itu boleh buat diri menjadi takbur dan kami mahu terus dianggap ‘underdog.’


RAP: Apakah persediaan Jambu untuk persembahan minggu seterusnya?

TAUKEH: Saya dengan Yus jarang berjumpa kerana kami sibuk dengan komitmen lain. Kami berjumpa tidak tentu masa.

Namun, kami sentiasa berhubung menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Jika ada sebarang idea lawak, kami beritahu satu sama lain. Setiap minggu, kami membuat persediaan dengan mencatat 16 hingga 20 cerita lawak dan kemudian pilih lawak yang difikirkan menarik.

Cabaran pada kami sebenarnya bertambah apabila kami jadi peserta kegemaran penonton. Ini memberi tekanan pada kami apabila penonton mahukan kami berikan persembahan lebih baik pada minggu seterusnya. Dalam bersyukur atas sokongan penonton, kami harus lipat gandakan usaha agar persembahan kami nanti tidak kecewakan penonton.


RAP: Apa komen anda apabila realiti di dunia luar, pelawak sukar ‘cari makan’?

TAUKEH: Sejak zaman sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, diikuti Senario dan Saiful Apek, ia membuktikan pelawak masih mempunyai permintaan di kalangan penonton.

Begitu juga adanya Raja Lawak dan Maharaja Lawak, tugas kami sebenarnya mahu mengangkat martabat pelawak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Kami percaya jika lawak tempatan dapat tembusi pasaran antarabangsa, ia memberi impak positif pada masa depan pelawak tempatan dan secara tidak langsung mengharumkan nama negara. Sejak dulu, lawak kita belum lagi dapat ke luar negara.

Mengambil contoh sitkom Mr Bean, dia berlawak tanpa dialog, tetapi ramai penonton seluruh dunia menyukainya. Menjadi impian kami agar suatu hari, lawak tempatan ramai termasuk berbilang bangsa.


RAP: Apakah Raja Lawak masih menjadi platform terbaik cungkil bakat baru?

TAUKEH: Untuk jangka masa panjang, saya percaya program ini amat bagus dalam melahirkan pelawak baru. Adanya program sebegini, ia bukan saja memperkenal peserta berbakat, malah dapat melatih dalam menajamkan lagi persembahan peserta. Saya sendiri melihat kita mempunyai ramai bakat baru yang boleh diketengah sebagai pelawak. Saya berharap program ini diteruskan agar lebih ramai berpeluang turut serta mencuba nasib.


RAP: Apakah komen juri mempengaruhi undian SMS penonton?

TAUKEH: Tidak dinafikan dalam mana-mana program realiti, komen juri sangat mempengaruhi penonton. Penonton lebih gemar ikut pandangan juri yang bertanggungjawab menilai persembahan peserta. Apa yang penting, peserta harus hormat pada juri. Saya berpandangan juri bersikap adil dalam membuat penilaian terhadap persembahan peserta.

Juri berhak memberi komen sama ada persembahan itu bagus atau tidak kerana mereka diamanah untuk menilai. Sebaiknya, peserta terbuka dalam menerima kritikan juri.


RAP: Bagaimana Jambu mencari idea berlawak?

TAUKEH: Setiap minggu, kami anggap ia adalah persembahan final. Jadi, kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati juri dan penonton. Dalam mencari idea baru, saya banyak bercampur dengan sesiapa saja dan membuat kajian menerusi drama, filem atau teater untuk mengetahui apa yang penonton suka.

Ada ketika saya sekadar termenung mencari idea. Saya senang fikirkan lawak serius dulu sebelum idea itu dikembangkan. Istilah diri pelawak, dia perlu sentiasa mempunyai idea baru kerana lawaknya akan menjadi ikutan penonton.


RAP: Mungkin anda mempunyai cadangan kembalikan kegemilangan pelawak tanah air?

TAUKEH: Saya mencadangkan stesen TV dan media massa bekerjasama dalam membantu pelawak sedia ada. Mungkin boleh menerbitkan pelbagai program yang dapat menggunakan khidmat pelawak dan media juga membantu dari aspek promosi. Di peringkat antarabangsa, kita dapat lihat program membabitkan pelawak memang banyak dan ini memberikan pendapatan.

Saya juga bangga dengan kejayaan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang membawa genre komedi kerana berjaya menarik perhatian ramai penonton. Saya berharap lebih banyak filem komedi yang menggunakan pelawak dapat diterbitkan pada masa akan datang. Saya percaya sesuatu karya atau idea yang menarik dapat menjual produk tempatan kita ke luar negara. Saya bersama Yus tidak terlalu fikir untuk menang Maharaja Lawak, tetapi kami mahu
bawa lawak kami ke peringkat lebih tinggi.

SUMBER: HMETRO