05 November 2011

Buku seks Kelab Taat Suami haram

BUKU SEKS PERJUANGKAN SEKS ISLAM?
JAKIM dapati bahan terbitan KTS bercanggah dengan ajaran Islam

KUALA LUMPUR: Buku Seks Islam perangi Yahudi untuk kembalikan seks Islam kepada dunia terbitan Kelab Taat Suami (KTS) diwartakan sebagai haram oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas didapati bercanggah dengan ajaran Islam. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati kandungan buku terbabit menyalahi Garis Panduan Penapisan Bahan Penerbitan Berunsur Islam. “Kita sudah menghantar buku berkenaan kepada KDN semalam (kelmarin) untuk diwartakan sebagai penerbitan yang diharamkan kerana kandungannya yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Kita juga akan terus menyiasat dan meneliti buku terbitan KTS yang lain yang diragui kandungannya jika mendapat sebarang aduan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Berita Harian sebelum ini melaporkan mengenai penerbitan buku itu oleh KTS yang dikatakan panduan kepada ahli kelab itu dan mereka yang sudah berkahwin, antara lain menceritakan mengenai hubungan suami isteri secara roh di mana suami boleh melakukannya serentak dengan semua isteri.

Buku setebal 115 muka surat itu yang dihasilkan Hatijah Aam atau Ummu Jah, yang juga isteri kepada pemimpin bekas pemimpin Al-Arqam, Asaari Muhammad turut mendakwa ketika dunia menyangka Asaari atau Abuya sudah meninggal dunia, pengikutnya kini bangkit memperjuangkan seks Islam.

Bagaimanapun, Hatijah yang juga Presiden KTS Antarabangsa dalam satu sidang media melalui laman Skype dari Makkah, menafikan kandungan buku itu terpesong daripada ajaran Islam, sebaliknya ia perlu diketahui umat Islam zaman ini yang didakwa sudah terpengaruh dengan ajaran seks barat.

Mashitah berkata, kandungan buku berkenaan terutama yang menyentuh hubungan suami isteri secara roh pemikiran yang tidak terjangkau oleh akal dan boleh menyesatkan orang lain jika tidak dibendung.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai Program Seksualiti Merdeka 2011 yang memperjuangkan kesaksamaan jantina termasuk untuk golongan homoseksual dan lesbian, katanya, acuan pemikiran sedemikian merosakkan masyarakat dan sama sekali tidak dibenarkan sama ada dari segi agama, budaya mahu pun Perlembagaan negara.

No comments: