04 October 2009

Cerita Maksiat Di Bulan Ramadhan

Selasa, 2008 September 23

MELAKA: “Apa tahan-tahan orang pula. Apa salah kami,” rungut seorang wanita yang ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dalam operasi bersepadu cegah maksiat yang diadakan di Taman Melaka Raya, kelmarin.

Operasi bagi mencegah kemungkaran di bulan Ramadan itu disertai oleh Polis dan Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan memeriksa empat premis pusat hiburan berkenaan.

Operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam itu diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani.

Menurut Rahimin, ketika menahan sekumpulan wanita di sebuah pusat hiburan berkenaan, seorang daripadanya tiba-tiba mempertikaikan kuasa Jaim memeriksa dokumen pengenalan diri mereka.

Katanya, mereka mendakwa di hadapan premis berkenaan tidak mempunyai notis melarang wanita memasuki pusat hiburan.

“Memang tiada notis melarang mereka masuk, tetapi mereka ditahan untuk pemeriksaan kerana didapati berpakaian tidak sopan.

“Kita mempunyai kuasa untuk menahan mereka untuk siasatan lanjut dan ada peruntukkan undang-undang bagi kesalahan itu,” katanya kepada Metro Ahad.

Rahimin berkata, dalam operasi berkenaan seramai 10 wanita berusia 19 hingga 30 tahun ditahan kerana berpakaian kurang sopan, termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana masih dibawah umur.

Katanya, semua wanita terbabit diberi saman hadir sebelum dibebaskan, manakala dua lagi wanita berusia 20 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan kerana didapati berpakaian seksi melampau dengan berskirt pendek serta berbaju menampakkan dada.

“Seorang daripadanya adalah seorang penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), manakala seorang lagi adalah penganggur.

“Kesemua yang ditahan serta diberi saman hadir itu boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara enam bulan mengikut Seksyen 71, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana berpakaian tidak sopan,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu Jaim mendapati pusat hiburan terbabit penuh dengan pengunjungnya walaupun pada Ramadan.

Katanya, ketika serbuan dibuat sebahagian besar mereka yang menyedari kehadiran kami bertempiaran lari.

“Kita juga dapati ada juga pusat hiburan yang masih beroperasi lebih masa dan menyebabkan ia masih menjadi tumpuan,” katanya. - Sumber

No comments: