26 August 2008

Chikungunya kembali serang negara

Chikungunya kembali serang negara
30 July 2008
Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN
Dipetik dari sumber: http://www.yadim.com.my

Penularan demam Chikungunya di Slim River, Perak dan kematian seorang pekebun sawit di Jasin, Melaka yang disyaki disebabkan oleh demam Chikungunya baru-baru ini menimbulkan kerisauan kerajaan. Bukan hanya kerana penularannya di seluruh negara tetapi juga dikhuatiri akan turut menjejaskan industri pelancongan negara.

Demam Chikungunya bukanlah kes baru di negara ini kerana ia direkodkan pertama kali di Malaysia pada tahun 1960-an dan pernah menyerang dan menjangkiti 27 orang rata-ratanya pendatang asing di Pelabuhan Klang pada tahun 1999.

Demam Chikungunya pertama kali direkodkan berlaku di Tanzania, Afrika Timur pada tahun 1952. Demam ini kemudiannya dilaporkan menular di Filipina pada tahun 1954, 1956 dan 1968, dan negara-negara Asia yang lain seperti Indonesia, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Ia mendapat namanya daripada bahasa Swahili yang bermaksud bongkok berdasarkan ciri-ciri pesakit yang akan membongkok akibat kesakitan dialami disetiap sendi-sendi tubuh.

Penyakit bawaan nyamuk Aedes Aegypti (gambar) ini pada sekitar 200-300 tahun dahulu pada asalnya adalah penyakit bawaan virus yang terdapat pada haiwan primat daripada bangsa babun di hutan tebal dan savana Afrika. Virus dari keluarga Togaviridae, Genus alphavirus ini kemudiannya berevolusi dan menghasilkan virus baru yang mampu menyerang sistem antibodi manusia.

Oleh kerana disebarkan oleh nyamuk dari kumpulan yang sama, demam Chikungunya memiliki persamaan dari segi gejala dengan demam denggi berdarah. Namun, apa yang membezakan kedua-dua demam ini adalah pesakit yang dijangkiti Chikungunya tidak mengalami pendarahan kerana demam Chikungunya tidak menyerang pembuluh darah seperti demam denggi tetapi ia menyerang sendi dan tulang pesakit.

Walaupun demam Chikungunya diklasifikasikan sebagai penyakit yang tidak membawa maut, pada sekitar tahun 2005-2006, 148 kematian telah direkodkan dan dikaitkan dengan penyakit ini di Pulau La Reunion dengan satu per tiga daripada 777,000 penduduknya diserang wabak ini.

Menerusi cara penyebaran yang sama seperti demam dengi, nyamuk aedes akan menyebarkan virus menerusi gigitannya. Virus akan mengambil masa dua hingga empat hari untuk berinkubasi di dalam tubuh mangsa yang telah dijangkiti dan bermenifestasi dalam jangka masa tiga hingga sepuluh hari.

Simptom-simptom bagi demam Chikungunya lazimnya adalah demam panas yang tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 celsius, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sensitif kepada cahaya, loya dan muntah. Manakala simptom khusus demam ini adalah sakit sendi terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali selain rasa ngilu pada tulang. Dalam tempoh tersebut, pesakit akan berada di dalam kesakitan yang teramat sehingga menyebabkan pesakit tidak mampu bergerak.

Sesetengah daripada pesakit juga akan mengalami sakit sendi yang berpanjangan dan berulang dalam jangka masa yang lama walaupun telah bebas daripada demam ini.

Oleh kerana ia memiliki persamaan dengan demam denggi berdarah, demam Chikungunya juga mampu melemahkan sistem imun tubuh sekaligus mendedahkan tubuh kepada jangkitan penyakit-penyakit lain.

Walaupun Chikungunya masih lagi tidak mempunyai penawar, langkah pencegahan menjadi pertahanan terbaik bagi masyarakat dalam menghindarinya dengan menghentikan rantaian kitar hidup nyamuk aedes termasuklah memusnahkan sarang pembiakannya.

Selain itu, langkah lain yang boleh diambil termasuklah tidur menggunakan kelambu, berbaju lengan panjang dan berseluar panjang terutama ketika menjalankan aktiviti luar serta memasang ubat penghalau nyamuk.

No comments: