26 August 2008

Chikungunya masih terkawal - Dr. Latiff

JASIN 22 Julai - Demam chikungunya yang dibawakan oleh nyamuk aedes yang dikesan di daerah ini beberapa minggu lalu masih terkawal dan orang ramai tidak sepatutnya menjadi panik.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, desas-desus mengatakan demam itu semakin merebak sejak awal bulan lalu semakin serius dan tidak terkawal adalah tidak benar sama sekali.

Menurut beliau, kes demam bawaan nyamuk sama yang membawa demam denggi itu sehingga kini hanya menjangkiti enam pesakit dan mereka telah pun pulih dan dibenarkan pulang.

Enam kes tersebut dilaporkan berlaku masing-masing sebanyak dua kes di Rim, Chincin dan Bemban di daerah ini.

''Saya ingin betulkan tanggapan yang mengatakan kononnya banyak kes demam chikungunya berlaku di Jasin dan Hospital Jasin dan hospital yang berdekatan seperti Hospital Tangkak (Johor) sudah tidak ada katil lagi untuk pesakit.

''Nasihat saya, orang ramai tidak perlu panik kerana perkara tersebut tidak berlaku dan bukanlah seperti apa yang diperkatakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Jasin di sini petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Negeri, Norpipah Abdol dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman.

Pada 14 Julai lalu, sebanyak empat kes demam chikungunya dikesan berlaku buat kali pertama di negeri ini dengan kes pertama dikesan pada 2 Julai lalu melibatkan seorang penoreh getah berusia 74 tahun di Kampung Rim, Jasin dan kes kedua berlaku di Chincin.

Chikungunya sebelum ini hanya pernah merebak di negara-negara Afrika dan Asia dan dikesan kali pertama berlaku di Malaysia pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum menular ke Bagan Panchor, Perak.

Jelas Abdul Latiff lagi, sejak dua minggu lepas memang ada berlaku peningkatan demam yang tinggi dan dengan sakit-sakit sendi di kalangan pesakit tetapi tanda-tanda tersebut juga juga terdapat pada penyakit-penyakit lain seperti denggi atau demam biasa.

''Selepas pemeriksaan dibuat, kita dapati hanya enam kes sahaja disahkan sebagai demam chikungunya.

''Para pegawai kesihatan juga sentiasa menjalankan pendekatan proaktif dan langkah pencegahan dengan memeriksa kawasan rumah pesakit," katanya.

Sumber: http://utusan.com.my/



No comments: