06 November 2012

Kopitiam dan Premis Makanan Tidak Halal Diserbu

Mamak: Gagal Mengucap 2 Kalimah Syahadah
Sumber: www.islam.gov.my

Berdasarkan dari aduan awam yang telah diterima berkaitan penyalahgunaan logo halal JAKIM, Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal JAKIM bersama dengan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya telah menjalankan serbuan ke atas sebuah premis makanan yang beroperasi di Dataran Sunway Kota Damansara iaitu Restoran Mano Mega Curry House dan sebuah premis produk minuman yang terletak di Damansara Damai.

Operasi ini diketuai oleh pegawai Hub Halal JAKIM; Mohd Amri Abdullah dan En. Ismail Hamzah pegawai penguatkuasa KPDNKK, Putrajaya telah dijalankan pada 18 Rabiuawal 1431H bersamaan 04 Mac 2010 bermula jam 11.00 pagi dan berakhir pada 09.30 malam. Hasil dari pemeriksaan mengejut ke atas kedua-dua premis tersebut, didapati pengurus serta pemilik premis berkenaan telah menggunakan serta mempamerkan logo halal JAKIM dalam premis perniagaan serta pada produk minuman tanpa mendapat sijil pengesahan halal Malaysia yang sah dari pihak JAKIM.

Dengan itu pegawai KPDNKK Putrajaya telah mengambil tindakan dengan mengarahkan pemilik premis berkenaan menanggalkan serta merta logo halal JAKIM yang terdapat di dalam premis berkenaan serta merampas sebahagian besar produk minuman.

Mengulas lanjut operasi ini, Pengarah Hub Halal JAKIM Puan Saimah Mokhtar berkata, operasi seumpama ini sedang dipertingkatkan dan dipergiatkan dari masa ke semasa bagi tujuan membendung penyalahgunaan logo halal JAKIM dari berleluasa. Perlu diperjelaskan lagi di sini bahawa kebanyakan restoran-restoran dan kopitiam-kopitiam yang beroperasi di Negara ini memiliki sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak lain yang tidak mendapat pengiktirafan oleh pihak kerajaan Malaysia. Hanya Pak Hailam Kopitiam dan cawangannya dan Jonker Walk Kopitiam sahaja yang mempunyai sijil halal JAKIM. Menerusi operasi-operasi yang telah dijalankan juga, kita telah mendapati ada di kalangan kopitiam-kopitiam yang menjadi pemegang sijil halal swasta atau memiliki sijil halal yang tidak diiktiraf kerajaan menggunakan bahan atau ramuan yang tidak halal dalam menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Seterusnya ujar beliau lagi, hanya logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM dan JAIN sahaja yang boleh digunapakai kerana jaminan halal itu telah dibuat berdasarkan proses piawaian serta prosedur yang telah ditetapkan. Beliau juga menyarankan kepada para pengguna serta pengunjung supaya lebih berhati-hati apabila mengunjungi premis makanan dan sekiranya terdapat sebarang keraguan terhadap status halal premis restoran atau kopitiam boleh merujuk terlebih dahulu kepada Bahagian Hub Halal JAKIM melalui talian telefon 03-8315 0200 atau di laman web hub halal iaitu www.halal.gov.my atau terus membuat aduan kepada KPDNKK.

No comments: