29 January 2012

Punca Lemas Di Pantai Sepat - Ada Perangkap Maut

Perangkap maut Pantai Sepat
Disediakan oleh Berita Harian


TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mendengar keluhan ibu mangsa, Zaleha ketika melawat keluarga mangsa mati lemas di Sungai Isap 2, Kuantan, semalam.

Ombak besar musim tengkujuh dipercayai membentuk teluk dasar pantai

KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil risiko mandi di Pantai Sepat, di sini, berikutan dasarnya berteluk selain arus deras yang menarik ke tengah laut tidak ubah seperti 'perangkap maut' terutama kepada kanak-kanak dan remaja. Penyelia Penyelamat Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuantan, Sarjan Baharin Abdul Majid, berkata ombak besar setinggi hampir dua meter setiap kali musim tengkujuh antara November hingga Mac, dipercayai membentuk teluk di dasar pantai berkenaan sekali gus mengundang risiko kejadian lemas. Sehubungan itu, beliau berkata, pantai berkenaan tidak sesuai untuk mandi kecuali aktiviti rekreasi dan berkelah.

Beliau turut meminta mereka yang mahu membawa keluarga ke pantai berkenaan mematuhi arahan pihak berkuasa yang sudah memasang bendera merah sebagai amaran tidak melakukan aktiviti air seperti berkayak dan mandi.

“Kita menempatkan enam anggota sukarelawan sebagai penyelamat pantai bagi membuat rondaan di sepanjang pantai terbabit sejak semalam (kelmarin) bermula jam 9 pagi hingga 7 petang sehingga tamat cuti persekolahan hujung minggu ini.

“Mereka akan menegur dan melarang orang ramai yang mandi bagi mengelak risiko kejadian lemas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian lemas pada Ahad dan Isnin lalu, tiga remaja termasuk dua beradik berusia 11 dan 13 tahun lemas ketika mandi di pantai itu.

Dua beradik terbabit, Mohd Saiful Mohamad, 13, dan adiknya, Mohd Zaiful dari Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Ahad lalu, manakala R Arvin, 16, meninggal di pantai berkenaan.

Penyelamat Pantai JPAM, Norfozilawati Mohd Kassim, 36, berkata kerenah berdepan dengan pengunjung yang sukar menerima nasihat sudah menjadi kebiasaan selepas empat tahun menyumbang khidmat dalam pasukan berkenaan.

“Sekiranya berhadapan dengan individu sedemikian, saya hanya perlu bersabar dan terus menegur atau menasihati mereka supaya tidak terus mandi manda di situ,” katanya.

Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat ibu kepada dua beradik yang lemas, Zaleha Abd Ghani, 42, di Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, semalam.

Baginda meminta pihak berkuasa meningkatkan aspek keselamatan termasuk memasang papan tanda amaran sebagai peringatan kepada pengunjung pantai itu.

No comments: