01 January 2012

Amaran hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis

Amaran hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis
KUALA LUMPUR: Kawasan rendah di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis berisiko mengalami banjir berikutan hujan lebat berterusan sehingga malam ini. Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga. Menurut kenyataan jabatan itu, kawasan yang terlibat di Kelantan ialah daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli manakala di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. Di Kedah, kawasan yang terlibat ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik dan Langkawi, manakala di Perlis melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau. -- BERNAMA

Mangsa banjir di Segamat kekal 209 orang 
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Segamat kekal 209 orang pagi ini dengan enam pusat pemindahan masih dibuka. Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, seramai 50 keluarga masih terjejas akibat bencana itu ekoran paras air yang belum surut sepenuhnya di kediaman masing-masing. Kesemua pusat pemindahan itu melibatkan Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya. Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat melebihi paras amaran pagi ini dengan masing-masing mencatatkan 9 meter dan 17.15 meter. Semua penduduk di kawasan sekitar diminta berwaspada. -- BERNAMA

No comments: