29 December 2011

Anak Didie Alias Dapat 8A

Pelakon komedi bangga anak peroleh 8A dalam PMR
Disediakan oleh Berita Harian

DIDIE menganggap pencapaian cemerlang Nur Dinie sebagai hadiah paling bernilai untuknya bagi tahun ini.

KUALA LUMPUR: Anak pelakon komedi popular, Didie Alias, Nur Dinie Mohd Ridzuan, 15 yang memperoleh pencapaian cemerlang 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan Khamis lalu menghadiahkan kejayaan terbabit kepada ibunya yang banyak berkorban mencari rezeki membesarkan mereka lima beradik.

“Saya tidak mampu membalas jasa mummy dengan wang ringgit sebaliknya dengan kejayaan mendapat keputusan cemerlang ini diharap mampu membahagiakan mummy. Mummy memang mengharapkan semua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat segulung ijazah. “Waktu di rumah saya belajar mengikut jadual disediakan manakala di sekolah dan kelas tambahan yang dihadiri, saya akan tumpukan sepenuh perhatian kepada kelas. “Saya berterima kasih kepada mummy yang banyak berkorban serta guru dan rakan yang banyak membantu mengulang kaji pelajaran,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang saintis dan ahli astronomi.

Sementara itu Didie Alias atau nama sebenarnya Fadzilah Mohammad menganggap pencapaian cemerlang anak ketiga daripada lima beradik itu sebagai hadiah paling bernilai untuknya bagi 2011.

“Sebagai seorang ibu saya amat berbangga dengan keputusan cemerlang yang diperoleh Dinie dan segala penat lelah mencari rezeki dalam industri seni ini seakan berbayar.

“Saya akui jarang membahagikan masa bersamanya kerana sibuk dengan aktiviti seni, namun jika ada masa terluang saya duduk bersama dan memantau setiap perkembangan pembelajaran dan aktiviti persekolahannya selain menghantarnya menghadiri kelas tambahan selepas waktu sekolah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

No comments: