GERIK: Akibat terlalu takut selepas merempuh seorang anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya, seorang suami tergamak memecut laju motosikalnya meninggalkan isteri dan dua anak mereka yang sedang mengerang kesakitan dalam kejadian di Jalan Air Suda, di sini kira-kira jam 8.10 malam kelmarin.
Kejadian berlaku di satu simpang berdekatan persimpangan lampu isyarat ketika lelaki berusia 25 tahun itu menunggang motosikal membawa anak lelaki berusia dua tahun dan anak perempuan tiga tahun serta isterinya berusia 22 tahun. Ketika dalam perjalanan dari pekan ini, dia melanggar lampu isyarat merah dan terus membelok masuk ke simpang Jalan Air Suda sebaik melihat empat anggota polis trafik sedang membuat operasi. Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum, berkata dalam keadaan kelam kabut, lelaki terbabit merempuh Koperal Rozi Ahmad, 45, yang berada di tengah jalan menyebabkan semua yang berada di atas motosikal terjatuh ke atas jalan.
“Dia yang cedera di betis dan tangan bagaimanapun pantas mencapai motosikal sebelum memecut laju membiarkan anak dan isterinya mengerang kesakitan di atas jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Gerik di sini, semalam.
Abdul Manab berkata, Rozi cedera teruk dengan tangan kiri patah apabila tulang menembusi daging lalu dibawa ke Hospital Gerik (HG) sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping (HT), manakala dua anak lelaki terbabit dan isterinya cedera di badan dan kaki dibawa ke HG untuk rawatan.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin) lelaki itu muncul di HG untuk mencari anak dan isterinya lalu ditahan polis. Mengikut keterangan isterinya, lelaki itu sangat takut kepada polis dan sering lari jika terserempak pasukan keselamatan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment