18 November 2011

Raja Bhumibol pengsan akibat banjir

BANGKOK: Raja Thailand berdepan masalah kesihatan yang menyebabkan beliau tidak sedarkan diri, kata anaknya Puteri Chulaborn yang, mengaitkan kejadian itu dengan tekanan berikutan krisis banjir yang melanda negara berkenaan. Berita meluas mengenai masalah kesihatan Raja Bhumibol Adulyadej, 83, dianggap Puteri Chulabhorn sebagai tidak menyenangkan ketika Thailand masih belum pulih daripada banjir yang menenggelami kawasan pedalaman dan sebahagian Bangkok. Lebih 500 penduduk maut manakala kemusnahan dianggarkan bernilai berbilion dolar dan tengah Bangkok masih diancam bencana alam itu. Chulabhorn, anak bongsu Raja Bhumibol kelmarin berkata ketika melawat mangsa banjir di wilayah Nonthaburi di utara Bangkok, bapanya tidak sedarkan diri selepas mengalami pendarahan perut dan tekanan darah rendah mendadak. Berita rasmi disiarkan kelmarin menyatakan kesihatan Raja Bhumibol kembali pulih selepas menerima rawatan di hospital. Raja Bhumibol yang ditabalkan pada 1950, dimasukkan ke hospital September 2009 apabila Istana Diraja berkata beliau dirawat kerana demam dan keletihan melampau. Puteri itu berkata, doktor memberitahu pendarahan mungkin disebabkan kebimbangan berhubung banjir teruk di Thailand. Chulabhorn tidak memaklumkan bila kejadian berlaku tetapi kenyataan menunjukkan ia terjadi lebih seminggu lalu. Beliau menyatakan mengenai perkara itu pada 7 November lalu walaupun tidak secara terperinci. Kelmarin beliau berkata ia berlaku pada hari sama raja itu melawat mangsa banjir di Ayutthaya, juga berhampiran Bangkok. Beliau tyurut melawat kuil Buddha di situ pada 4 November lalu. Raja Bhumibol dilihat sebagai ikon perdamaian dalam masyarakat Thai, dan masalah kesihatan Raja Bhumibol berkebetulan dengan masalah di negara itu. Thailand berdepan krisis sejak rampasan kuasa tentera pada 2006 yang membawa ketidakstabilan politik, berikutan bantahan jalanan ganas. Kelibat Raja Bhumibol yang jarang kelihatan di khalayak ramai turut menimbulkan persoalan mengenai apa yang akan berlaku selepas kematiannya. Anak lelakinya dan pewaris takhta, Putera Mahkota Vajiralongkorn, tidak mendapat penghormatan dan kemuliaan sama seperti bapanya daripada rakyat. – AP

No comments: