02 November 2011

Lelaki juga berisiko dijangkiti HPV

DI peringkat dunia, kanser servik adalah kanser kedua yang banyak menyebabkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. Ia membunuh seorang kaum Hawa dalam tempoh setiap dua minit. Manakala di Malaysia, kanser servik menjadi kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita selepas payu dara dan kolorektum. Statistik Kanser Malaysia pada 2006 menunjukkan, kanser servik merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser paling kerap di kalangan wanita di negara ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser servik setiap tahun. Laporan yang dikeluarkan WHO, kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dan perubatan menegaskan, hanya kaedah pelalian dijangka mampu mengurangkan dengan ketara risiko seseorang wanita diserang kanser servik. Justeru, kempen pelalian kebangsaan untuk menentang virus human papillomavirus (HPV) yang dianjurkan Kementerian Kesihatan bermula Julai 2010 di kalangan gadis berusia 13 tahun telah dijalankan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kanser berkenaan. Kanser servik adalah penyakit di mana sel-sel yang tidak normal terbentuk pada dinding servik. Jangkitan HPV di servik di kenal pasti antara penyebab utama kanser servik. Namun apakah nama di sebalik virus HPV itu sebenarnya, jenis-jenisnya dan bagaimanakah cara ia menyerang? Adakah ia hanya menyerang golongan Hawa dan bagaimana pula dengan golongan lelaki adakah kebal dengan virus ini? Semua persoalan ini dirungkai oleh Datin Dr. Kamaljit Kaur, yang pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Kuala Lumpur . Beliau kini merupakan doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan pakar perunding di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor. Apakah HPV dan terdapat berapa jenis HPV? Dr. Kamaljit Kaur: HPV (Human Papillomavirus) adalah virus biasa yang menyerang lelaki dan wanita. Terdapat lebih 100 jenis HPV. Kebanyakan HPV tidak menimbulkan apa-apa gejala, tidak berbahaya dan dapat dihapuskan oleh imunisasi badan kita. Terdapat kira-kira 30 jenis HPV yang dikenali sebagai HPV kelamin kerana virus ini memberikan kesan terhadap bahagian kelamin. Ada beberapa jenis yang boleh mengakibatkan kanser servik atau pun menyebabkan sel abnormal pada lapisan servik yang boleh bertukar menjadi kanser. Terdapat juga beberapa jenis HPV yang boleh menyebabkan ketuat kelamin dan perubahan benigna (bukan kanser) di dalam servik. Selain kanser servik dan ketuat pada alat kelamin wanita. Apakah penyakit-penyakit lain yang boleh ditimbulkan oleh HPV dan bagaimana serius keadaannya? Dr. Kamaljit Kaur: HPV boleh menyebabkan lebih daripada kanser servik di kalangan wanita. Terdapat beberapa jenis HPV berisiko tinggi, iaitu jenis 16 dan 18. Infeksi berlarutan daripada HPV ini, boleh mengakibatkan kanser servik dan kanser lain pada bahagian kelamin termasuk vagina dan vulva. HPV jenis 16 dan 18 menyumbang kepada kira-kira 70 peratus kejadian kanser servik. Manakala jenis HPV yang berisiko rendah pula HPV jenis 6 dan 11 boleh menyebabkan terbentuknya ketuat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul di bahagian kelamin dan di sekelilingnya. HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus daripada semua kes ketuat kelamin. Ketuat kelamin sangat mudah berjangkit. Kira-kira dua per tiga daripada kalangan orang yang mempunyai hubungan seks dengan pasangan yang ada ketuat genital (kelamin) akan menjangkitinya, lazimnya dalam tempoh tiga bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa terdapat 32 juta kes ketuat kelamin baru akan muncul setiap tahun di seluruh dunia. HPV juga dikaitkan dengan penyakit lain (yang jarang berlaku) seperti RRP (papilomatosis respirasi berulang), sejenis penyakit pertumbuhan di tekak yang menyukarkan pernafasan. Bolehkah golongan lelaki mendapat HPV? Apakah jenis HPV yang boleh mendatangkan kesan kepada lelaki? Dr. Kamaljit Kaur: Selain mengakibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita, HPV juga boleh menyebabkan pertumbuhan ketuat kelamin, kanser dubur, kanser zakar dan sesetengah kanser kepala dan leher seperti kanser oropharnyx di kalangan lelaki. Lelaki dan wanita boleh menyebarkan HPV antara satu sama lain melalui hubungan seksual, walaupun persetubuhan tidak berlaku. Siapakah yang berisiko dijangkiti HPV. Dr. Kamaljit Kaur: HPV tidak mengenal jantina, umur ataupun bangsa. Sesiapa yang mempunyai hubungan seksual mempunyai risiko dijangkiti HPV. Jangkitan HPV biasanya tidak menimbulkan apa-apa tanda atau gejala, kebanyakan orang yang dijangkiti HPV tidak tahu mereka mempunyainya (menghidapinya). Faktor-faktor risiko mendapat jangkitan HPV berkait dengan kelakuan seksual, seperti bilangan pasangan seks, sejarah sepanjang hayat pasangan seks dan sejarah seks dengan pasangan tersebut. Kebanyakan kajian melaporkan bahawa golongan yang berusia muda (bawah 25 tahun) adalah faktor risiko mendapat jangkitan HPV. Penghidap HPV tidak menyedari diri mereka mempunyai virus itu sehinggalah simptom-simptom penyakit muncul. Adakah cara lain yang membolehkan HPV ini dikesan lebih awal supaya ia dapat dibendung daripada berkembang menjadi penyakit-penyakit lain? Dr. Kamaljit Kaur: Setakat ini tidak terdapat pemeriksaan lazim untuk mengesan jangkitan HPV di kalangan lelaki. Tetapi wanita boleh menjalani lumuran pap (pap smear) setiap tahun. Lumuran pap adalah sebahagian daripada pemeriksaan ginekologi. Ujian ini dapat mengesan sel abnormal pada lapisan servik sebelum sel ini berpeluang menjadi (sel) kanser servik. Kementerian Kesihatan menyediakan pelalian HPV bagi remaja berumur 13 tahun, Bagaimana dengan mereka yang berusia lebih daripada itu? Dr. Kamaljit Kaur: Masa yang paling sesuai untuk pelalian HPV adalah sebelum pendedahan seksual dan apabila sistem imun berada di kemuncaknya. Oleh itu, kami cuba mendidik ibu bapa memberikan vaksin tersebut kepada anak-anak mereka awal pada kira-kira 13 tahun apabila sistem imun adalah tinggi. Walau bagaimanapun, wanita muda berumur sehingga 45 tahun boleh mendapatkan vaksin selepas berunding dengan doktor. Jadi, mereka yang berumur melebihi 13 tahun adalah digalakkan menjalani pelalian HPV terutamanya hingga umur 26 tahun malahan hingga ke umur 45 tahun. Berapa banyak negara di dunia yang menyediakan program pelalian HPV kebangsaan mereka? Dr. Kamaljit Kaur: Kini terdapat 34 negara di dunia yang mempunyai program pelalian HPV kebangsaan. Kesan program pelalian HPV kebangsaan jangka pendek adalah seperti pengurangan infeksi HPV dan ketuat kelamin (secara bulanan), kesan jangka pertengahan termasuk pengurangan insiden lesi servik dan RRP (papilomatosis respirasi berulang) permulaan juvana (secara tahunan) dan kesan jangka panjang seperti insiden dan kematian daripada kanser servik, kanser dubur, kanser-kanser anogenital lain (kanser vulva dan kanser faraj) dan kanser oropharynx (dekad). Walaupun setakat ini, tiada bukti pengurangan HPV 16 dan 18 tahap populasi yang diterbitkan, terdapat data dari klinik-klinik kesihatan seksual di Australia yang menunjukkan penurunan penyakit ketuat kelamin dan dari Pejabat pendaftar ujian pap peringkat negeri Australia pula, data pengurangan penyakit servik gred tinggi. Bukti-bukti ini diperhatikan semenjak pelaksanaan program pelalian HPV kebangsaan Australia yang mempunyai kumpulan sasaran wanita yang berumur 12-26 tahun pada tahun 2007. Donovan et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) telah memerhatikan penurunan sebanyak 59 peratus pada diagnosis insiden ketuat kelamin di kalangan wanita yang layak mendapat pelalian HPV program kebangsaan Australia, di lapan klinik kesihatan seksual Australia. Penurunan sebanyak 39 peratus juga dapat dilihat di kalangan lelaki heteroseksual umur yang sama yang menampakkan bukti-bukti awal imuniti kumpulan (herd-immunity), kesan pengurangan jangkitan antara pasangan. Tiada penurunan ketuat kelamin yang diperhatikan di kalangan wanita lebih tua (bukan kumpulan sasaran program pelalian) atau lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki. Brotherton et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) memerhatikan penurunan insiden lesi serviks gred tinggi yang disahkan dari segi histologi, di kalangan wanita muda Victoria (di Australia) yang dilaporkan dari Pejabat Pendaftaran sitologi servik, tidak lama sejak pelaksanaan Program Pelalian Kebangsaan Australia. Memandangkan golongan lelaki juga berisiko dijangkiti HPV, adakah mereka patut diberikan pelalian HPV juga? Apakah umur yang disarankan bagi pelalian golongan ini? Dr. Kamaljit Kaur: Sememangnya lelaki patut divaksinasi kerana mereka mempunyai risiko dijangkiti HPV dan pada masa yang sama menyebarkan HPV kepada pasangan wanita mereka. Seperti yang dimaklumkan, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh HPV di kalangan lelaki termasuk ketuat kelamin, kanser zakar, kanser dubur dan sesetengah kanser kepala dan leher. Pelalian HPV quadrivalent mempunyai indikasi rasmi untuk mencegah ketuat genital (kelamin) yang disebabkan oleh HPV 6 dan 11 untuk lelaki berumur sembilan ke 26 tahun, yang diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada September 2010. Jadual untuk tiga dos pelalian HPV untuk lelaki adalah sama dengan dos pelalian perempuan. Memandangkan lebih ramai golongan remaja perempuan sekarang dilindungi menerusi pelalian, adakah ini bermakna mereka tidak perlu lagi menjalani ujian pap smear (lumuran pap) pada masa hadapan? Doktor: Pelalian HPV bukanlah gantian bagi lumuran pap. Semua wanita digalakkan untuk menjalani lumuran pap secara kerap walaupun suntikan vaksin HPV sudah dilakukan.

No comments: