06 November 2011

Bayar kompaun atau cermin sisi dikunci

IPOH: Bermula kelmarin, kira-kira 600 pemilik kenderaan yang ingkar melunaskan saman tertunggak membabitkan kesalahan lalu lintas melebihi 50 kompaun di bandar raya ini berdepan dengan tindakan cermin sisi kenderaan mereka dikunci. Nampaknya ini adalah mimpi ngeri untuk mereka yang banyak kompaun. Penolong Pengarah Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin, berkata penguat kuasa MBI kini sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan itu dan kunci berkenaan hanya boleh dibuka di pejabat penguat kuasa di sini, selepas membayar denda RM50. "Menerusi penguatkuasaan itu, pemilik kenderaan terbabit perlu melunaskan bayaran saman tertunggak mereka tetapi masih berpeluang untuk membuat rayuan. 

"Bagaimanapun, kita memberi amaran kepada pemilik kenderaan yang dikunci supaya tidak merosakkan alat ini kerana mereka boleh didenda RM1,000 selain didakwa mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBI) 1992," katanya selepas operasi mengunci beberapa kenderaan sekitar bandar raya ini, kelmarin. Beliau berkata, pihaknya juga akan mengenakan tindakan susulan iaitu mengapit tayar kenderaan pemilik jika kunci (untuk cermin sisi) tidak dipulangkan kepada Pejabat Penguat Kuasa MBI di Jalan Bandar di sini, dalam tempoh 30 hari dari tarikh dikunci. Mengikut rekod MBI, ada pemilik kenderaan yang mempunyai lebih 400 saman lalu lintas yang nilai kompaunnya mencecah RM10,000. "Ada juga pemilik yang mempunyai antara 200 hingga 300 saman tertunggak dan diharapkan mereka tampil menjelaskan bayaran kompaun bagi mengelak dikenakan hukuman itu," katanya

No comments: