07 November 2011

Angah Raja Lawak Afiq Izzudin Geng Bas Sekolah Bergabung!

RAHSIA Angah Raja Lawak Laku Lepas Adnan Sempit?
KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Biarpun namanya telah mula dikenali sejak 2007 menerusi musim pertama program realiti Raja Lawak, namun baru kini popularitinya semakin meningkat naik. Itulah yang berlaku kepada pelakon dan pelawak Iskandar Shah Hashim atau lebih dikenali sebagai Angah, 31. Tapi yang menjadi kemusykilan, mengapa selepas 3 tahun berada dalam industri hiburan, baru kini bakat dan popularitinya menyerlah sehinggakan seringkali mukanya muncul di pawagam.

"Saya pun tak pasti mengapa, tapi apa yang pasti selepas saja saya membintangi filem Adnan Sempit rezeki saya, Alhamdulilah murah. Saya rasa bertuah lepas filem itu digemari ramai, saya mendapat banyak tawaran untuk membintangi filem, drama dan terbaru mengacarakan rancangan tv. Dari filem Adnan Sempit juga saya sedar kini ramai sudah mula mengenali saya. Bila di luar budak-budak nampak saya mereka pun sebut Adnan Sempit", katanya sambil ketawa menampakkan lesung pipit yang dalam itu.

Filem-filem Lakonan Angah Raja Lawak
2012      Seram Sejuk - (Pelakon Utama)
2011      Suatu Malam Kubur Berasap - (Pelakon Utama)
2011      Alamak Toyol - (Pelakon Utama)
2010      Ngangkung - (Pelakon Pembantu)
2010      Adnan Semp-It - (Pelakon Pembantu)

Pengarah Filem Alamak Toyol
Ismail bob Hashim

   
Lakonan:
Along Cham sebagai    Along (Pelakon Utama)
Angah Raja Lawak sebagai    Angah (Pelakon Utama)
Afiq Izzudin sebagai Toyol (Pelakon Utama)

Sinopsis:
Kisah bermula dengan Pak Umar yang pergi berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan toyol atas niat untuk cepat kaya. Bomoh itu mempunyai banyak koleksi toyol dan setiap toyol mempunyai harga masing-masing. Oleh kerana tidak mampu, Pak Umar mengambil toyol yang paling murah. Setelah mengambil toyol dari bomoh, bomoh tersebut mengecop barcode di dada kiri Pak Umar. Pada waktu yang sama, Fakhrul dan Kudin yang juga merupakan sahabat baik juga memikirkan jalan untuk mendapatkan duit. Hampir setiap hari mereka mencuba kaedah baru untuk merompak namun semuanya gagal.

Sehinggalah pada suatu hari, Fakhrul dan Kudin mahu merompak Pak Umar namun Pak Umar tiada duit untuk diberikan pada mereka. Pak Umar bercadang mahu memberi toyol tersebut pada Fakhrul dan Kudin. Pada mulanya Fakhrul dan Kudin menolak toyol itu. Namun lama-kelamaan mereka sanggup untuk menerima toyol itu daripada Pak Umar. Toyol beralih arah dan barcode di dada kiri Pak Umar hilang serta-merta dan timbul barcode di dada kiri Fakhrul dan Kudin. Sejak hari itu, bermulalah kisah Fakhrul dan Kudin yang mahu jadi cepat kaya. Malangnya nasib mereka apabila toyol yang diambil dari Pak Umar itu tidak pandai mencuri. Fakhrul dan Kudin terpaksa mengajar teori dan praktikal kepada toyol tersebut untuk mencuri.

Di satu tempat yang lain, Farah yang selama ini setia bekerja dengan Daniel akhirnya mengetahui rupa-rupanya selama ini Daniel menjalankan perniagaan haram iaitu dengan menyeludup dadah. Farah yang mengetahui hal ini telah membuat laporan polis namun pihak polis tidak berjumpa sebarang bukti. Daniel berdendam dengan Farah dan berniat mahu menghapuskan Farah. Suatu malam yang dingin, oleh kerana banyak kali gagal dalam mencuri, Fakhrul dan Kudin berniat untuk mengembalikan toyol pada Pak Umar kembali. Toyol dengan wajah sedih meminta satu lagi peluang dari Fakhrul dan Kudin. Toyol telah masuk untuk merompak rumah Farah dan di sini menjadi titik permulaan pertemuan antara Fakhrul, Kudin dan Farah. Fakhrul dan Kudin terpaksa menolong Farah untuk membongkarkan rahsia Daniel dalam masa yang sama mereka terpaksa mencari Pak Umar untuk mengembalikan toyol tersebut.

Apabila Toyol Tak Pandai Mencuri
Oleh HARTATI HASSAN BASRI

KALAU sebut toyol, masyarakat Melayu sedia maklum ia makhluk halus yang dipelihara seseorang untuk mendapatkan rezeki tidak halal dengan mencuri kerana ia mampu menyelinap dalam rumah berkunci dan mampu mencari wang yang disorokkan di mana saja. Toyol juga begitu taat kepada tuannya. Kisah toyol ini nyata menarik minat pembikin filem untuk dipaparkan di layar lebar. Pada 1981, Sabah Film Production menghasilkan filem Toyol arahan Malik Selamat dan filem genre seram ini dijayakan Sidek Hussain, Rohani Yahya dan Sharifah Hasnor.

Satu lagi, filem Toyol Nakal yang diterbitkan Artistik Pictures Sdn Bhd ditayangkan di pawagam pada 2 Jun lalu, tetapi hanya mencatat kutipan RM100,000 dalam tempoh seminggu sedangkan filem arahan Z Lokman itu menelan kos RM1.2 juta. Kini, filem Alamak Toyol terbitan Metrowealth Pictures (MIG) pula dihasilkan di bawah arahan Ismail Bob Hasim yang sebelum ini berjaya melalui Ngangkung. Ini adalah filem keempat Bob selepas Ngangkung, Senario Ops Pocot dan Bini-Biniku Gangster.

Ia dijayakan pelawak muda, Angah Raja Lawak dan Along Cham serta dibantu pelawak veteran, Hamid Gurkha. Watak toyol pula diserahkan kepada pelakon baru, Muhammad Afiq Izzuddin, 12, yang sebelum ini pernah menjayakan Gang Bas Sekolah dan juga Zoo The Series. Untuk watak toyol ini, Afiq tampil dengan bentuk budak kecil (tetapi tidak berbogel dan pakai cawat) dengan mata merah dan gigi tajam. Turut menjayakan filem ini, Yank Kassim, Adeline Tsen serta barisan pelakon baru MIG Talent, Tyzo, Adib Adiba, Siti Chubby dan Azrul Anwar.

Along atau nama sebenar, Mohammad Nizam Ahmad, 28, mengakui Afiq yang baru berusia 12 tahun mempunyai bakat sebagai pelakon. Katanya, walaupun wataknya tiada dialog, Afiq tiada masalah memberi lakonan berkesan sebagaimana diinginkan pengarah. “Memang menarik berpeluang bekerja dengannya dan saya kagum kerana dia memberikan komitmen 200 peratus untuk filem ini,” katanya.

Afiq yang juga pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri, Cheras, petah berkata-kata dan menjawab soalan dengan penuh yakin, berbeza dengan pelakon kanak-kanak lain seusia dengannya. Dia mula dilamar MIG untuk membintangi Zoo The Series, tetapi Alamak Toyol lebih dulu menjalani penggambaran pada Disember tahun lalu diikuti Zoo The Series pada Januari lalu.

Katanya, dia menghadiri uji bakat menjadi pelakon Gang Budak Sekolah ketika usia 9 tahun sekadar suka-suka, tetapi kini mengakui mula menyukai dunia lakonan. “Mengenai perasaan, ada rasa gementar menantikan reaksi penonton terhadap Alamak Toyol kerana ini filem pertama lakonan saya. Waktu sama, saya seronok kerana berpeluang bekerja dengan pelawak terkenal. Pengarah juga mendengar pendapat pelakon.

“Saya minat Saiful Apek dan berharap diberi peluang berlakon bersamanya nanti. Mungkin jadi anaknya atau pun adiknya, tentu menarik,” katanya. Bagaimana dengan cerita toyol di bawah garapan Bob? Dalam ucapannya sebelum majlis pra-tonton yang berlangsung di MBO, Subang Parade, kelmarin, Bob berkata, Alamak Toyol dihasilkan dalam bentuk komedi kerana ingin menunjukkan kepada penonton bahawa elemen seram pada toyol mampu menjadi hiburan.

Filem ini juga dihasilkan untuk hiburan seisi keluarga. Kalau biasanya toyol dipelihara untuk tujuan mencuri, dalam Alamak Toyol, dia tidak pandai mencuri malah membuatkan tuannya pening kepala. Kisah bermula dengan Pak Umar lakonan Hamid Gurkha berjumpa bomoh untuk membeli toyol. Bomoh ini mempunyai pelbagai koleksi toyol dan setiap toyol mempunyai harga. Pak Umar membeli toyol paling murah dan diberi cop mohor toyol di dadanya.

Dua sahabat, Fakhrul (Angah) dan Kudin (Along) menjalankan aktiviti mencuri, tetapi sering gagal hinggalah suatu hari merompak Pak Umar yang berjalan-jalan mencari tuan baru untuk toyolnya. Dia tidak tahan dengan kerenah toyol itu selepas hanya sehari memeliharanya. Pak Umar tidak ada wang dan menyerahkan botol mengandungi toyol itu, tetapi Fakhrul dan Kudin tidak berminat. Pak Umar terus mengekori mereka dan menyarankan memelihara toyol untuk memudahkan kerja mereka. Tidak perlu susah keluar merompak lagi dan serahkan kepada toyol itu.

Akhirnya Fakhrul dan Kudin bersetuju dan cop mohor toyol berpindah kepada mereka berdua. Hiduplah toyol itu bersama Fakhrul dan Kudin, tetapi nyata kehadiran toyol itu sia-sia kerana dia tidak tahu mencuri. Aksi toyol yang bodoh ini mampu membuatkan penonton ketawa terutama kanak-kanak apatah lagi aksi Afiq yang bersahaja sebagai toyol bodoh-bodoh alang. Begitu juga lakonan Angah dan Along turut menyentuh hati penonton apabila rasa kasihan dengan budak toyol itu walaupun kehadirannya memeningkan kepala mereka.

Kehadiran Hamid Gurkha tidak perlu dipersoalkan lagi, bak kata orang, buka mulut saja pelawak veteran itu mampu membuatkan penonton ketawa. Sub plot cerita kegiatan Daniel yang menjalankan perniagaan haram menyeludup dadah menambahkan lagi rencah Alamak Toyol. Kegiatan Daniel diketahui setiausahanya, Farah apabila menjumpai dadah dalam laci Daniel. Sejak itu hidup Farah diancam orang-orang Daniel.

Alamak Toyol yang mula ditayangkan di pawagam mulai hari ini, tidak mengecewakan penonton untuk satu wadah hiburan. Paling penting, mampu memberi kesedaran kepada penonton supaya tidak membela toyol kerana ia hanya menyusahkan hidup. Senario kurang memberangsangkan daripada kutipan beberapa filem yang ditayangkan sebelum ini, tentunya satu perkembangan kurang baik dan membimbangkan produser filem tempatan.

Bagaimanapun, produsernya, David Teo yakin Alamak Toyol mampu menarik perhatian penonton kerana genre komedi mempunyai pasaran yang baik dan filem ini sesuai ditonton seisi keluarga. Tambahan pula tarikh tayangannya sempena cuti Aidiladha. Katanya, beberapa filem yang ditayangkan sebelum Alamak Toyol kurang mendapat sambutan dan ini mungkin disebabkan beberapa faktor terutama promosi. Alamak Toyol adalah filem MIG yang ke-49 ditayangkan di panggung dan mempunyai 20 lagi filem yang menanti tayangan.

No comments: