06 June 2011

MAHARAJA LAWAK DI KUANTAN 10 JUN 2011

Maharaja Lawak kini ‘terkeluar’
HMETRO

MALAM ini buat pertama kalinya, gelanggang Maharaja Lawak dibuka di luar Kuala Lumpur apabila menjejakkan ke lokasi pertama di Penang International Sport Arena (PISA) diikuti Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada 10 Jun dan akhir sekali Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, Johor pada 17 Jun ini.

Ia dilakukan sebagai penghargaan kepada penonton yang memberi sokongan kuat pada program menggabungkan finalis Raja Lawak. Berita itu diumumkan Ketua Saluran Astro Warna, Nizam Sani minggu lalu sebaik saja berakhir persaingan minggu kesembilan yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Klang.

Ikut perancangan awal, peserta yang masih kekal hanya mempunyai satu minggu lagi untuk bersaing bagi menempah tempat ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pertengahan Jun ini.

Kejutan terbaru ini juga dilihat sebagai satu strategi bagi menambah jumlah penonton saluran Warna. Sejak Maharaja Lawak bersiaran, difahamkan ia menarik hampir 400,000 pelanggan baru Saluran Warna yang mengenakan bayaran tambahan bagi mereka yang mahu menontonnya.


Membawa peserta yang punya nama besar dalam industri untuk meneruskan persaingan menjelajah seluruh tanah air mampu menarik minat umum, apatah lagi tiga minggu tambahan dilakukan sebelum tiba pertandingan akhir, memberi ruang untuk strategi mempromosikan saluran itu diteruskan.


Bagaimanapun, Nizam menafikan perkara itu sebaliknya menegaskan apa yang dilakukan produksi tidak lebih untuk memberi ruang kepada peminat setia rancangan terbabit menyaksikan pelawak kesayangan mereka dengan lebih dekat.

Kata Nizam, pihaknya merancang untuk memilih beberapa lokasi lain, tetapi kerana kekurangan kemudahan yang diperlukan menyebabkan hasrat itu terpaksa dibatalkan.

“Kami menjangkakan setiap dewan dipilih boleh memuat�kan hampir 4,000 penonton.
“Selain itu, mini karnival dan persembahan artis turut diadakan.
“Mereka yang tersingkir juga akan tampil membuat persembahan.

“Walaupun pertandingan diadakan di luar Kuala Lumpur, penyingkiran tetap dilakukan.

“Namun, segalanya bergantung kepada kejutan dan ada kemungkinan penyingkiran dibatalkan di salah satu lokasi terpilih atau pihak juri tetap menggunakan imuniti yang diberikan untuk menidakkan keputusan penyingkiran yang mahu dibuat,” katanya.

Sementara itu persembahan pada minggu kesembilan dilihat sedikit hambar dengan peserta yang meneruskan persaingan, kumpulan Sepah, Jambu, Jozan, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil serta kumpulan R2 yang menyertai kembali Maharaja Lawak menerusi kejutan undian masuk, menampilkan idea lawak kurang menarik.

Menampilkan tema bebas, namun kali ini setiap peserta sekali lagi perlu beraksi dengan pelawak jemputan di mana kumpulan R2 dianggotai adik-beradik, Ridhzuan dan Rahim Mat Ali, tampil bersama Sathia, Sepah dibarisi Mohd Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd Nazdri Zainal Abidin bergabung dengan AR Badul dan Balas dianggotai Fandi Muhammad dan Mohd Shukri Mohd Sahar (Bell Ngasri).

Gabungan Yazid Lim Mohd Aziz (Johan) dan Mohd Razizan Abdul Razak (Zizan) melalui Jozan pula diganding dengan Kenchana Dewi, Jambu dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Acong) manakala peserta solo tunggal, Nabil bersama Sharifah Shahira.

Ada di antara peserta ini dilihat tenggelam dan pelawak jemputan lebih menonjol.

Malah, jelas kelihatan ada peserta yang benar-benar bergantung kepada pelawak jemputan bagi menghidupkan jenaka dilakukan, sekali gus menarik perhatian penonton.

Kumpulan Balas yang bertahan selama sembilan minggu, akhirnya tersingkir.
Shukri ketika ditemui sebaik acara tamat, mengakui persembahan yang agak lemah dari sudut pengisian menjadi punca penyingkiran mereka.

“Minggu ini kami terlalu sibuk kerana mengikuti penggambaran filem dan terikat dengan jadual yang ketat.

“Ini menyebabkan kami kurang mengadakan latihan, begitu juga dengan pelawak jemputan kami juga sibuk.

“Kalau persembahan kami bagus dan tersingkir pada malam ini, kami berpuas hati tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, kedua-duanya akan meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan, apatah lagi mereka sudah menandatangani kontrak untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG Talent Sdn Bhd.

Waktu sama, Shukri mahu menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan yang sudah tertangguh hampir dua semester kerana pembabitannya dalam Raja Lawak dan Maharaja Lawak.

No comments: