06 June 2011

JOZAN NYARIS TERSINGKIR - ZIZAN GUGUP

Jozan belum ‘panas’
HMETRO

MASIH ramai ingat program minggu pertama Maharaja Lawak pada Jumaat lalu begitu hangat berbahang dengan komen pengkritik.

Dalam program menerusi saluran Astro Warna dan Astro Prima yang menampilkan 12 finalis Raja Lawak musim pertama hingga kelima ini, Jozan yang popular di mata penonton, menerima kritikan keras daripada ketua pengkritik, pengarah terkenal Mamat Khalid.

Sebagai pengarah yang menggilap bakat Johan dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) sehingga dikenali ramai, Mamat begitu kecewa dengan persembahan yang diperlihatkan duo ini. Berulang kali dia melontarkan perasaan tidak puas hati sehingga Jozan terpaksa melemparkan senyuman kelat.

Ditemui selepas program berakhir, Mamat berkata, dia bukanlah menghentam semua peserta terutamanya Jozan tanpa sebab. Sebaliknya mereka mengharapkan lawak yang segar daripada semua peserta yang bertanding.


“Kalau lawak itu diambil dari filem, itu namanya mereka meminjam. Peserta perlu buat lawak yang bukan recycle (kitar semula) kerana kami pentingkan pengisian.


“Man misalnya, lawak yang dibuat sudah lama saya dengar, jadi bagaimana saya nak gelak. Ini perlu diambil kira. Saya tak puas hati dengan Jozan tapi markah tertinggi yang diberikan penonton membuktikan penonton cukup matang.

“Kritikan saya tak sedikitpun mempengaruhi undian. Saya bukan nak menjatuhkan tapi meningkatkan lagi kualiti mereka. Seperti kata pepatah, sayangkan anak tangan-tangankan, inilah yang saya buat untuk sedarkan Jozan. Saya percaya mereka boleh meningkat pada episod kedua nanti,” katanya.

Tambah Mamat, Jozan mengecewakan harapannya untuk melihat lawak yang berkualiti selepas kumpulan Jambu membuka tirai dengan lawak yang menarik.

“Kita kena sedar isi lawak dan populariti adalah berbeza. Kalau pelawak itu popular, isi yang tak lawak pun orang gelak. Ini ialah Maharaja Lawak. Harapan peminat sudah tentunya tinggi kerana yang bertanding semua finalis.

“Kami buat begini kerana sayangkan Maharaja Lawak. Banyak peluang dilihat apabila mereka bertanding dalam Raja Lawak dan apabila bergelar juara Maharaja Lawak, lagilah banyak peluang yang bakal diraih,” katanya yang menolak unsur pilih kasih dalam penjurian.

Pengkritik tetap kedua, Ahmad Idham pula menilai peserta yang bertanding daripada sudut keperluan industri seni. Apatah lagi kebanyakan mereka pernah bekerja dengannya dalam drama dan filem.

“Saya sentiasa letakkan diri sebagai pencari kandungan bagi mengetengah�kan bakat mereka ke filem. Itulah sebabnya komen yang diberikan begitu mendalam dan sengaja memprovokasi mereka supaya buat yang terbaik.

“Peminat kena percaya pada kredibiliti kami. Untuk minggu pertama kami banyak bagi peluang buat mereka selesakan diri,” katanya.

Satu-satunya pelawak yang menjadi pengkritik, Saiful Apek menyedari tekanan yang ditanggung peserta sangat berat. Apatah lagi komedi tiada sekolah khusus untuk dipelajari berbanding nyanyian.

“Apa yang boleh dibuat, mereka kena sentiasa cari pembaharuan. Akademi buat pelawak ialah pengalaman. Kadangkala mereka hendak tampil dengan komedi baru, tapi malangnya peminat mahukan gaya mereka yang sama juga,” katanya.

Menjawab komen yang dilempar�kan, Johan yang mewakili Jozan berkata, mereka berada dalam keadaan terkejut kerana tidak berasa berada dalam suasana pertandingan.

“Orang nampak ‘chemistry’ kami kuat tapi ia hanyalah dalam persembahan. Selebihnya kami sibuk dengan karier masing-masing kerana saya ada keluarga hendak ditanggung. Untuk minggu pertama, kami terfikir ini hanya aksi dalam ‘show’. Tambah lagi kami tak sempat nak berbincang mengenai apa yang akan ditampilkan.

“Segala-gala yang ditampilkan adalah spontan. Mungkin perkara ini terjadi untuk minggu pertama saja kerana minggu depan kami akan baiki persembahan kami. Sebenarnya kami agak kekok untuk berlawak depan pengarah seperti Mamat Khalid dan Idham. Kami anggap komennya sebagai pembakar semangat untuk buat yang terbaik.

“Kami memang ingat aksi minggu ini macam persembahan bebas. Akibatnya kami sudah kena ‘bakar’ dengan komen pedas Mamat. Kami sudah agak dia akan berkata begitu. Mood bertanding juga belum timbul kerana selalunya kami akan mengacara untuk peserta lain, tiba-tiba kami pula yang bertanding. Ia berbeza dengan peserta seperti kumpulan Balas yang masih hangat dengan suasana pertandingan.

“Kami tak nak penonton letakkan harapan yang tinggi, namun kami berjanji akan beri yang terbaik buat mereka,” ujarnya yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem Ponti Vs Omi.

No comments: