04 December 2009

Payu dara tumbuh semula Bakteria usus mungkin menggemukkan Doktor tidak ikut panduan rawatan Lelaki kurang basuh tangan Sperma sihat dengan seks

Lima fakta
  • Payu dara tumbuh semula
  • Bakteria usus mungkin menggemukkan
  • Doktor tidak ikut panduan rawatan
  • Lelaki kurang basuh tangan
  • Sperma sihat dengan seks

PERTINGKATKAN kualiti kesihatan anda dengan lima fakta kesihatan paparan Kosmo! pada minggu ini untuk kebahagiaan anda sekeluarga.

Payu dara tumbuh semula

BERITA baik untuk pesakit-pesakit kanser payu dara. Para pengkaji dari Australia telah membangunkan satu teknik pembedahan yang boleh menumbuhkan semula payu dara, biarpun selepas menjalani mastektomi.

Prosedur tersebut melibatkan penyematan satu ruang berbentuk payu dara di bawah kulit dada. Ruang itu mengandungi satu sampel tisu lemak wanita. Satu urat darah kemudiannya disambung pada lemak tisu itu bagi membolehkannya membesar dan seterusnya mengisi ruang tersebut dalam tempoh enam hingga lapan bulan.

PROSEDUR ini melibatkan penyematan satu ruang berbentuk payu dara di bawah kulit dada.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Mikro-Pembedahan Bernard O'Brien, Dr. Phillip Marzella berkata, ruang boleh dibiodegrasi itu akan dibangunkan dalam tempoh 24 bulan.

Prosedur yang bakal menawarkan golongan wanita satu peluang alternatif itu bergantung kepada keupayaan badan untuk mengisi kekosongan ruang tersebut. Sejenis bahan seakan-akan agar-agar boleh disuntik bagi merangsang pertumbuhan lemak. - Independent

Bakteria usus mungkin menggemukkan

PARA penyelidik mendapati pengambilan diet yang tinggi kandungan gula dan karbohidrat mengakibatkan perubahan fizikal kepada tikus-tikus makmal. Tikus-tikus itu didapati menjadi obes.

Perubahan itu memudahkan penyelidik untuk mengkaji dan memahami berbilion-bilion mikroorganisma yang menghuni dalam usus manusia bagi mengatasi epidemik obesiti.

“Bilangan makanan yang anda ambil dan kekerapan anda bersenam kemungkinan penting untuk menentukan keseimbangan badan.

“Tetapi, sesebuah komuniti mikroorganisma turut memberi kesan kepada risiko obesiti, malnutrisi dan kesejahteraan tubuh secara keseluruhan,” kata ketua penyelidik, Dr. Jeffrey I. Gordon, yang juga pengarah Pusat Sains Genom di Sekolah Perubatan Universiti Washington di St. Louis, Amerika Syarikat (AS).

BAKTERIA ini membantu manusia menghadam dan menyerap makanan yang mungkin sukar dicernakan.

Menurut Gordon, amaun sel mikroorganisma adalah 10 kali ganda lebih banyak dalam tubuh manusia berbanding sel-sel manusia sendiri.

“Bakteria ini mampu membantu manusia menghadam dan menyerap makanan yang mungkin sukar dicernakan,” jelasnya.

Bagi mengkaji mikroorganisma itu dengan baik, pasukan Gordon telah memindahkan mikrob dari manusia ke dalam tubuh tikus-tikus itu.

Jelasnya, apabila tikus-tikus ini diberi diet makanan ringan yang kaya dengan gula dan lemak, struktur mikroorganisma itu berubah secara dramatik dan pantas.

“Mikrob-mikrob ini mampu menyesuaikan diri mengikut jenis diet berbeza pada kadar kepantasan yang menakjubkan,” tambahnya.

Kajian tersebut turut menunjukkan mikroorganisma-mikroorganisma itu boleh diturunkan dari satu generasi kepada generasi seterusnya. – Science Translational Medicine

Doktor tidak ikut panduan rawatan

TAHUKAH anda kebanyakan pesakit serangan jantung yang dimasukkan ke wad tidak diberikan pil-pil seperti disyorkan dalam panduan?

Hanya satu pertiga daripada sejumlah 12,565 pesakit yang layak menerima ubatan itu. Kumpulan itu telah dirawat di 201 buah hospital yang telah mendaftar dalam program Get with the Guideline anjuran Persatuan Jantung Amerika secara sukarela.

SEGELINTIR doktor di 201 buah hospital di Amerika Syarikat tidak ikut penduan rawatan pesakit jantung.

Ubat utama yang dikaji adalah spironolactone iaitu sejenis pil air yang membantu mencegah buah pinggang daripada menyerap terlalu banyak sodium. Lebihan sodium akan mengakibatkan amaun cecair yang terlalu banyak di dalam badan.

Biarpun pil tersebut mungkin membantu mengurangkan keperluan pesakit menerima rawatan di hospital dan kematian, ia juga boleh memudaratkan ginjal apabila digunakan oleh pesakit yang salah.

Ketua penyelidik, Nancy Albert berkata, kurangnya pendedahan dari aspek pemasaran mungkin menjadi punca ketiadaan pengetahuan doktor untuk menggunakan spironolactone. – Journal of the American Medical Association

Lelaki kurang basuh tangan

TABIAT membasuh tangan adalah kaedah paling murah untuk mengawal penyebaran sesuatu penyakit.

Malangnya, kurang daripada satu pertiga populasi lelaki dan dua pertiga daripada wanita membasuh tangan dengan sabun selepas ke tandas.

KAJIAN mendapati lelaki lebih malas membasuh tangan berbanding dengan perempuan selepas ke tandas.

Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropikal, London, Britain telah mengkaji kira-kira suku juta orang pengguna tandas di stesen-stesen perkhidmatan kenderaan di negara itu selama 32 hari. Tabiat membasuh tangan dengan sabun telah dipantau menggunakan sensor.

Hasil kajian menunjukkan hanya 32 peratus lelaki dan 64 peratus wanita akan menggunakan sabun seandainya mereka diingatkan atau ada yang memerhatikan mereka.

“Tabiat membasuh tangan mungkin dapat menyelamatkan lebih daripada sejuta nyawa setahun daripada cirit-birit dan mencegah jangkitan sistem pernafasan. Kedua-dua penyakit ini merupakan antara punca utama penyakit kanak-kanak di negara membangun,” katanya. – American Journal of Public Health

Sperma sihat dengan seks

INGINKAN sperma yang sihat? Jika begitu, anda dan pasangan anda mungkin perlu mempergiatkan hubungan intim anda setiap hari.

Sebabnya, satu kajian baru-baru ini mendapati, tabiat mengadakan hubungan seks setiap hari dapat memperbaiki kualiti sperma lelaki, selain membantu pasangan untuk mendapatkan anak.

SUAMI isteri digalakkan mengadakan hubungan seks setiap hari untuk mendapatkan sperma yang sihat.

Kajian terbaru itu telah dijalankan oleh Dr. David Greening dari sebuah pusat rawatan ketidaksuburan dan penyuburan in-vitro, Sydney IVF di Australia.

“Pasangan suami isteri dengan parameter air mani yang normal patut melakukan hubungan seks setiap hari selama seminggu sebelum tarikh ovulasi bermula,” katanya.

Seramai 118 orang peserta yang mengalami kerosakan DNA sperma telah dikaji. Kualiti sperma mereka didapati bertambah baik selepas mereka digalakkan memancut air mani setiap hari selama tujuh hari menerusi seks.

Jelas Greening, pemancutan air mani secara kerap boleh memperbaiki kualiti sperma dengan mengurangkan tempoh masa sperma daripada terdedah kepada molekul-molekul berbahaya. Molekul-molekul itu dikenali sebagai spesies oksigen reaktif dalam duktus testikular. – Reuters

SUMBER: KOSMO.COM.MY

No comments: