27 May 2013

Pencuri Bogel - Ilmu Pukau Bogel Tidak Menjadi

Berbogel atau bertelanjang bulat semasa menceroboh dengan niat mencuri atau melampiaskan nafsu merupakan amalan ilmu hitam berbentuk pukau yang diamalkan oleh sesetengah pencuri di negara ini. Kebanyakan pencuri yang menggunakan ilmu hitam pukau bogel ini gagal dan berjaya ditangkap atau melarikan diri apabila mengetahui ilmunya tidak menjadi. Laporan berita mendapati terdapat beberapa kes pencuri bogel di negara ini.

Pukau Bogel Tak Menjadi
 07/10/2009

Akibat ilmu pukau tidak menjadi, seorang pencuri terpaksa lari lintang-pukang menyelamatkan diri dalam keadaan telanjang bulat apabila dikejar pemilik rumah dalam kejadian di Jalan Anak Bukit, Pantai Johor dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pencuri berusia lingkungan 30-an itu dipercayai cuba memukau penghuni rumah apabila memasuki rumah dalam keadaan bogel dan membuang air besar di dalam kediaman berkenaan.

Difahamkan, dia memasuki rumah itu bersama seorang lagi rakan tetapi kelibat mereka dikesan menantu lelaki pemilik rumah di dalam sebuah bilik sebaik membuka pintu bilik untuk mengambil beg pinggangnya yang tertinggal.

Bagaimanapun, dalam suasana kelam-kabut. rakan pencuri berkenaan yang berpakaian lengkap berjaya melarikan diri, manakala pencuri berbogel itu menjerit meminta tolong dipercayai ‘malu’ kerana bertelanjang bulat.

Dia mencampak beg pinggang dipegangnya sebelum melarikan diri keluar dari bilik menuju ke dapur.

Namun, episod memalukan tidak berakhir di situ apabila dia terserempak tiga warga emas, masing-masing dua wanita dan seorang lelaki termasuk pemilik rumah yang menonton televisyen di dapur.

Tiga warga emas terkejut melihat lelaki bertelanjang itu lalu mengejar dan sebaik berjaya menangkap pencuri berkenaan, mereka mengikat tangannya sebelum menghubungi polis Jalan Anak Bukit, Pantai Johor.

Pencuri berkenaan dipercayai memasuki rumah setingkat melalui lubang angin di atas tingkap bilik belakang.

Pemilik rumah, Anisah Sheikh Yahya, 60, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas menantunya, Azzanudin Mohd Rejab, 33, membuka lampu bilik belakang untuk mengambil beg pinggangnya yang tertinggal sebelum terdengar jeritan seorang lelaki meminta tolong.

“Saya, adik lelaki dan kakak ipar terkejut mendengar jeritan itu bangun melihat apa yang berlaku tetapi belum sempat berbuat demikian, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari bilik belakang dalam keadaan bogel dan lari di depan mata kami bertiga sebelum masuk ke bilik depan.

“Pada masa sama, menantu saya menjerit memberitahu lelaki itu pencuri menyebabkan kami terkejut dan cuba menangkapnya yang ketika itu terperangkap di bilik depan kerana semua tingkap terkunci,” katanya.

Anisah berkata, kakak iparnya, Norizan Shafie, 59, dan adiknya, Zainal Abidin, 58, memegang pencuri itu dengan bantuan Azzanuddin menjerit meminta tolong sebelum jiran datang membantu.

Katanya, lelaki itu cuba meronta melepaskan diri, tetapi mereka memegangnya dengan kuat untuk mengelak dia melarikan diri.

“Sebelum ini, rumah kami dan jiran kerap kehilangan barang berharga menyebabkan masing-masing saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

“Saya sendiri sudah 10 kali kehilangan barang kemas yang keseluruhannya hampir RM12,000 sejak setahun lalu tetapi kami gagal mencari bukti rumah dimasuki pencuri kerana tiada kesan pecah masuk sepanjang tempoh itu.

“Namun, kali ini kami puas kerana berjaya menangkap sendiri pencuri itu,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai datang bersama rakan menaiki sampan melalui Sungai Anak Bukit yang terletak 20 meter dari rumah mereka.

Katanya, pencuri itu memakai tuala masuk melalui lubang angin dan menanggalkan tualanya di luar rumah sebelum masuk menggunakan ilmu hitam ke atas penghuni rumah dengan membuang air besar di merata-rata tempat di dalam rumah.

No comments: