18 March 2012

Koleksi Novel Lucah Pelajar Di Pasaran! Virus Tahun 70-an Menular Kembali!

Kini terdapat peluang mendapatkan RM150 dengan menulis cerita lucah dan ini telah berjaya dikesan! Kenapa ada pihak yang sanggup menawarkan RM150 untuk para pelajar supaya menulis cerita lucah? Virus novel lucah kini merebak kembali! Cegah sebelum parah!

BERITA 1: NOVEL CERITA LUCAH BERLAMBAK DI PASARAN?

KEBELAKANGAN ini kedai buku menjadi meriah apabila pihak kerajaan bermurah hati menghadiahkan setiap pelajar baucar bernilai RM200 bagi pembelian buku sebenarnya khusus untuk buku rujukan bagi pengajian mereka di IPT masing-masing.

Namun kebanyakan yang saya perhatikan hanya membeli novel-novel popular selain beberapa buah buku rujukan sedang nilai tersebut rasanya cukup bagi membeli buku rujukan dan ilmiah mengikut pengkhususan mereka. Perhatikan sahaja dalam bakul para remaja yang sedang beratur membuat pertukaran di kedai-kedai buku itu.

Dalam masa yang sama, kebanyakan novel itu dalam sedar ataupun tidak adalah novel lucah. Saya menjadi hairan bagaimana novel sedemikian boleh lulus terbit oleh penerbitnya dan tidak diambil tindakan oleh Jakim mahupun KKDN sedangkan ia sangat jelas merupakan novel yang bersifat erotik dan menayangkan babak dan dialog lucah dengan sangat terbuka.

Kalau tidak percaya, mohon ibu bapa atau pihak berwajib daripada Jakim dan KKDN turun ke kedai-kedai buku utama dan cuba selak sahaja sebuah dua novel popular yang kadang-kadang menduduki carta jualan tertinggi selama berbulan-bulan lamanya. Kelucahan dalam menggambarkan bagaimana hubungan seksual antara suami isteri dengan jelas malah lebih teruk hubungan terlarang seperti zina sesama kekasih dan lebih mengerikan mungkin ada adegan seks antara Mat Bangla dan isteri orang.

Bagi saya ini adalah racun yang sangat merbahaya kepada masyarakat malah lebih bahaya daripada penyakit berjangkit kerana ia menyebabkan keruntuhan akhlak dan pemikiran sesuatu masyarakat.

Masyarakat yang diracuni oleh segala pemikiran seks ini akan hanya menjadikan nafsu sebagai dorongan untuk hidup dan apa bezanya dengan haiwan?

Generasi apa yang mahu kita tinggalkan di masa hadapan?

Justeru, saya memohon dan merayu kepada pihak berwajib khusunya Jakim dan KKDN agar rajin sedikit memantau ke dalam kedai-kedai buku dan bukan hanya menunggu laporan masuk baru kalut.

Kalau sebelum ini Jakim pernah haramkan novel Sebongkah Batu di Kuala Berang karya Faisal Tehrani yang tiada langsung unsur seks dan lucah malah mewacanakan isu khilafiah dengan ilmiah, maka mereka tiada sebab untuk tidak mengambil tindakan yang sama kepada novel-novel lucah yang sedang bermaharajalela di pasaran buku.

Mengharamkan novel bukan bererti mengharamkan penerbitnya. Namun penerbit, penulis, pengedar dan penjual serta pihak penguatkuasa ada ‘sahamnya’ di dunia dan akhirat atas kelucahan sebuah novel apabila ia disebarkan, dibeli dan dibaca malah paling teruk mendorong untuk diamalkan pula olah para pembaca. Ironinya kebanyakan penulis novel lucah ini adalah wanita Islam bertudung litup, kakak kepada adik-adik, isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak.

Kita tertanya apakah mereka tidak malu andai anak gadis atau anak teruna mereka sendiri yang membaca novel karangan emak mereka yang mempunyai adegan panas itu dan bertanya, “Wow! Novel ini emakkah yang tulis?”

Kita sebagai ibu bapa harus cakna dan mengawal selia bukan mengongkong bahan bacaan anak-anak dan pihak berwajib Jakim dan KKDN perlu cakna kepada putik-putik barah masyarakat ini, jangan sampai masyarakat kita menjadi masyarakat berminda lucah pada zahir dan batinnya seperti masyarakat di barat sana.

BAPA TERTEKAN ,
KUALA LUMPUR


BERITA 2: PELAJAR DITAWAR RM150 UNTUK MENULIS 1 CERITA LUCAH!!!

Dengan alasan mahu mencari wang saku tambahan, segelintir pelajar sekolah dikesan berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan cerpen lucah selepas tertarik dengan tawaran bayaran sehingga RM150 bagi setiap cerita pendek erotik terbaik dihasilkan.

Difahamkan, tawaran wang sagu hati itu diberikan syarikat penerbitan buku lucah berbahasa Melayu yang dikesan menerbit dan mengedarkan sekurang-kurangnya 10 judul novel lucah bersiri di pasaran.

Penerbit novel lucah berkenaan menetapkan syarat penulis yang berminat mendapatkan wang sagu hati itu perlu mengarang ‘kisah benar’ hubungan seks mereka tidak kurang 3,000 patah perkataan sebelum dihantar menerusi e-mel ke alamat ditetapkan.

Difahamkan, tawaran wang tunai itu disebarkan di halaman belakang beberapa novel lucah yang dijual berleluasa di beberapa kedai buku dengan harga sekitar RM8 hingga RM10 senaskhah.

Kewujudan pelbagai buku novel lucah berkenaan didedahkan seorang bapa yang terkejut apabila mendapati bahan bacaan yang menawarkan ‘peraduan’ itu ditemui tersorok di bawah tilam anak remajanya yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 48, dan bekerja sebagai anggota pasukan keselamatan mendakwa menemui novel lucah bertajuk Kama Asmara 18 SX di bilik tidur anaknya.

Menurutnya, novel berkenaan ditemui ketika dia sedang menyelongkar bahagian bawah katil anak remajanya berusia 16 tahun untuk menarik soket fius elektrik kipas, petang Sabtu lalu.

“Saya yang menyeluk tangan ke bawah katil menarik beberapa majalah hiburan termasuk novel lucah berkenaan yang saya percaya disembunyikan anak saya di bawah katil.

“Sebaik novel dengan gambar gadis berahi itu dibelek, saya terkejut apabila mendapati ia sarat dengan 11 cerita pendek kisah lucah yang digabungkan dan dijilidkan menjadi novel,” katanya.

Menurutnya, dia yang membelek sekali lalu novel berkenaan terkejut apabila mendapati semua cerpen di dalamnya mengandungi cerita panas yang tidak sesuai untuk dibaca golongan remaja.

“Saya yakin remaja yang menatap novel lucah ini akan mudah naik syahwat dan mampu merosakkan minda ke arah perbuatan tidak senonoh.

“Berdasar pengamatan, novel lucah setebal 128 muka surat itu masih baru berada di pasaran dan diedarkan syarikat penerbitan ‘hantu’ berikutan tiada alamat penulis atau pihak penerbit pada kulit novel,” katanya.

Menurutnya, novel yang dijual pada harga RM8.50 itu turut menyelitkan pelbagai gambar wanita separuh bogel untuk menarik perhatian pembaca.

“Saya dapati kebanyakan tajuk cerita dalam novel berkenaan seperti Hadiah Malam Pertama, Bersama Pelakon Filem Blue, Mengajar Isteri Sepupuku, Eksperimen Seks Di Makmal Kimia, Hadiah Seks Di Harijadi, Belayar Bahtera Bersama Kak Ita dan beberapa tajuk lain, tidak sesuai dibaca remaja.

“Saya yang menunggu anak pulang daripada aktiviti kokurikulum di sekolah kemudian menyoalnya sebelum dia mengaku meminjam novel berkenaan daripada rakan untuk tempoh seminggu,” katanya.

Halim berang apabila anaknya mendakwa novel lucah terbabit dibaca sebagai bacaan sampingan selain menawarkan pendapatan sampingan.

“Malah, saya turut terkejut apabila membelek halaman terakhir novel dan menemui nota tawaran ganjaran wang tunai RM150 diberikan kepada sesiapa yang menyumbang cerita lucah kepada penerbit hantu berkenaan.

No comments: