01 January 2012

FAKTOR-FAKTOR MEROKOK DI KALANGAN REMAJA

KAJIAN PUNCA, RISIKO MEROKOK DAN SUMBANGAN MEROKOK

PENGENALAN
Tabiat merokok merupakan suatu fenomena masyarakat di mana kewujudannya boleh ditafsir dari pelbagai aspek. Antaranya adalah aspek hubungan sosial, persekitaran, risiko kebergantungan, risiko kesihatan dan lain-lain lagi. Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat samada di kampung, bandar dan sebagainya. Dari aspek sosiobudaya, masyarakat menjadikan kelakuan merokok sebagai satu cara hidup, iaitu merokok dijadikan ukuran status kedewasaan, kematangan dan kesediaan memikul tanggungjawab khususnya di kalangan orang lelaki.

Terdapat remaja lingkungan belasan tahun yang tidak segan silu merokok secara terbuka di tempat awam. Fenomena ini biasa kita lihat dalam pelbagai situasi dan sesetengahnya lengkap berpakaian sekolah. Pelbagai kempen dilakukan oleh kerajaan bagi mencegah remaja daripada terjebak kedalam tabiat merokok. Kempen ini dijalankan samada melalui media cetak, media elektronik serta penyebaran poster. Ini menunjukkan seriusnya masalah merokok di kalangan remaja sekarang. Remaja juga merokok tanpa menghiraukan papan tanda larangan merokok samada di institusi pengajian atau di tempat awam. Tabiat ini wajar dihentikan bagi membentuk golongan remaja yang sihat demi untuk pembangunan negara pada masa akan datang.

Faktor umur turut mempengaruhui pandangan mereka terhadap tabiat merokok. Bagi remaja, kemungkinan mereka merokok sekadar untuk berseronok sahaja tanpa memikirkan kasan buruk akibat tabiat merokok. Manakala orang dewasa merokok mungkin di sebabkan faktor kebergantungan atau ketagihan. Mereka sedar tentang masalah yang sedang dan bakal di hadapinya tetapi terpaksa meneruskan tabiat tersebut dengan pelbagai alasan. Perokok sentiasa mempertahankan kepercayaan bahawa merokok mempunyai kebaikannya tersendiri seperti tumpuan perhatian yang lebih baik, keupayaan berfikir yang lebih tajam, boleh mengurangkan tekanan, ketegangan, dan berasa lebih tenteram. Griesar (2002) melalui kajian klinikal mereka mendapati bahawa merokok memang boleh memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan.

PERMASALAHAN MEROKOK DI KALANGAN REMAJA
Tabiat merokok dikalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan. Ini jelas daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001), yang menunjukan 20 % perokok terdiri dikalangan remaja. Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa dianggarkan seramai 50 sehingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Manakala menurut WHO dalam Sufean (2004) menunjukan bilangan perokok di dunia diangarkan satu bilion. Statistik juga menunjukkan bahawa 49% daripada lelaki dewasa di negara ini merokok dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju seperti di Britain 38 %, Amerika Syarikat 35 % dan Sweden 30 %. Justeru itu, keadaan ini menjelaskan kepada kita bahawa perokok yang terdiri di kalangan remaja amat membimbangkan.

Sebagaimana yang di ketahui, tabiat merokok memberi kesan negatif seperti risiko kepada kesihatan tubuh badan. Menurut Sallehuddin dalam Norlaila (1998), dari aspek fizikal, tabiat merokok boleh mengakibatkan bau rokok yang kurang menyenangkan kepada pakaian. Manakala dari aspek kesihatan pula, pada peringkat awal merokok boleh memberi kesan seperti seseorang perokok menjadi pelupa dan kurang selera makan. Manakala kesan jangka panjang dari aspek kesihatan pula adalah boleh mengakibatkan penyakit kanser, mandul, gigi yang rosak dan sebagainya. Walaupun masyarakat kita sedar tentang bahaya dan risiko merokok tetapi ia masih diamalkan sebagai satu tabiat oleh segelintir masyarakat pada hari ini.

Menurut Ahmad (2004), pihak kerajaan pada tahun 2003 yakni sejak Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepimpinan negara, beliau telah bersungguh-sunguh melaksanakan kempen anti merokok di setiap jabatan, daerah, kampung dan sebagainya. Yang menariknya dalam kempen beliau itu, golongan yang menjadi sasaran utama ialah remaja yang berumur 13 sehingga 21 tahun. Ini kerana kerajaan sedar bahawa golongan yang tinggi merokok adalah dikalangan remaja.

Di samping itu, kajian ini turut mengambil kira sumbangan tabiat merokok kepada gejala penagihan bahan. Menurut kajian Sabri (2002), didapati keseluruhan penagih dadah terdiri daripada kalangan perokok. Menurut beliau lagi,walaupun pelatih berada di dalam pusat serenti tetapi mereka tidak putus bekalan tembakau. Ini di sokong oleh kajian Samsuddin dan Herman dalam Modul Kempen Cara Hidup Sihat (2003) yang menyatakan bahawa 99% penagih dadah di pusat serenti mengamalkan tabiat merokok dan 95% penagih dadah yang telah bebas mengamalkan tabiat merokok.Pendapat ini turut disokong oleh Lee dalam Ahmad (2004), berkata kajian sumbangan tabiat merokok kepada gejala penagihan dadah mendapati 99 % penagih dadah yang ditahan di semua pusat serenti mempunyai pengalaman menghisap rokok ketika usia remaja.

No comments: