09 December 2011

KONTRAK LINGUAPHONE BATAL KERANA WUJUD UNSUR MEMANCING ATAU MEMUJUK

Kontrak Linguaphone batal
Disediakan oleh Berita Harian


Dua penuntut UTM menunjukkan bukti pembelian produk syarikat Linguaphone Distributors Sdn Bhd selepas prosiding di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

TTPM dapati unsur pujuk dorong empat pelajar beli produk


JOHOR BAHRU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam membatalkan kontrak antara empat penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, dengan sebuah syarikat pembelajaran bahasa Inggeris berikutan wujud unsur memancing (memujuk) dalam proses jual beli produk syarikat berkenaan. Penuntut tahun pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Amirah Amdul Rahman, 19, berkata beliau dan tiga lagi rakannya, Ainun Nadzirah Abdul Azis, 20, Asmaq Abdul Karim, 21, dan Aishah Samsudin, 19, membeli produk daripada Linguaphone Distributors Sdn Bhd pada 29 September lalu. “Ketika keluar dari perpustakaan, kami didatangi wakil syarikat itu dan diberi penerangan mengenai produk berkenaan yang dijual pada harga RM2,389 serta dikata boleh meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris.

“Wakil syarikat berkenaan juga mengatakan kami tidak perlu memikirkan bayaran sebanyak RM110 selama 19 bulan, cuma perlu membayar deposit sebanyak RM299.

Tanpa berfikir panjang, kami menandatangani surat perjanjian untuk membelinya kerana percaya ia dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris kami,” katanya ketika prosiding, semalam.

Amirah berkata, beliau dan rakannya kemudian mencari maklumat berhubung produk terbabit di laman sesawang dan mendapati banyak rungutan daripada orang ramai mengenai produk berkenaan.

“Kemudian, kami cuba menghubungi syarikat terbabit bagi meminta penjelasan mengenai produk itu tetapi mereka tidak memberi layanan memuaskan.

“Mereka menggunakan bahasa kasar dan hanya menghubungi kami untuk meminta bayaran bulanan tanpa memberi sebarang penjelasan mengenai keberkesanan produk mereka,” katanya.

Amirah berkata, beliau dan rakannya kemudian mengambil keputusan untuk memfailkan perkara itu kepada TTPM bagi menuntut semula wang deposit.

Ketika prosiding berlangsung semalam, Linguaphone Distributors Sdn Bhd menghantar seorang wakil bagi mengenepikan tuntutan pihak penuntut dengan alasan mereka sudah menandatangani perjanjian pembelian.

Bagaimanapun Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali, mendapati wujud unsur memancing (memujuk) sehingga menyebabkan pihak penuntut membeli barangan berkenaan.

“Disebabkan wujud unsur memancing (memujuk), TTPM membatalkan kontrak (perjanjian) antara kedua-dua pihak dan penuntut diminta memulangkan semula produk kepada Linguaphone Distributors Sdn Bhd dalam masa 14 hari,” katanya.

No comments: