07 November 2011

VIKINGDOM - FILEM BARU KRU GUNA PELAKON HOLLYWOOD

Vikingdom - FILEM BARU KRU - Setanding filem Hollywood
Ini memang berita yang terbaik daripada KRU Studios. KRU kini bikin filem ala Hollywood. Ini filem ada aktor dari Hollywood juga. Ini filem berbahasa Inggeris. Pelakon-pelakon filem ini memang hebat-hebat. Semua pelakon filem yang dipanggil berlakon dalam ini filem semuanya memang hero-hero dan heroin yang terbaik punya.

Mari baca ini berita. Ini filem namanya Vikingdom. Ini cerita fasal Viking punya legenda. Filem ini dibuat di Malaysia. Memang Malaysia banyak bagus punya orang, sudah ada sana Hollywood jadi orang bikin itu makhluk asing ka, alien ka, apa itu yang hijau-hijau, biru-biru, merah-merah pun ada punya. Aku bangga sama itu KRU.


Ini dia punya berita. Dari Berita Hairan juga. Harianlah!!!

TRIO bersaudara ini pernah menghasilkan Hikayat Merong Mahawangsa yang diketengahkan ke persada antarabangsa dan kini KRU Studios bakal mencipta satu lagi sejarah dalam industri perfileman tempatan menerusi pembikinan filem epik kedua, Vikingdom yang dikatakan mencecah kos puluhan juta ringgit. Melihat poster produksi filem berskala mega yang sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris selain dibarisi bintang antarabangsa itu saja sudah dapat dibayangkan kesungguhan mereka meneruskan misi membawa filem Malaysia ke persada dunia, malah ia tidak jauh berbeza dengan penerbitan Hollywood. Bukan calang-calang bintang utama yang disambar bagi memantapkan judul arahan Yusry Abdul Halim ini. Mereka termasuklah pelakon Prison Break, Dominic Purcell; Craig Fairbrass (House of the Rising Sun); Natassia Malthe (Bloodrayne); John Foo (Tekken); serta Conan Stevens (The Hobbits).

“Sudah tiba masanya kita meneruskan usaha meletakkan filem Malaysia pada peringkat global. Walau ketika mula memohon dana kewangan dulu, ada pihak yang masih skeptikal, terutama tatkala kami mengajukan kertas cadangan pembikinan kisah pahlawan Viking yang mengambil keseluruhan lokasi di negara ini.

“Bagi kami sendiri, pandangan sebegitu kami lihat dari sudut positif. Kami mencabar diri merealisasikannya dengan sokongan beberapa penaja, apatah lagi bukan mudah untuk visualkan sesuatu yang biasa dipaparkan produksi barat khususnya kisah berkait rapat mitos rakyat mereka sendiri.

“Namun selepas 10 filem terutama sejak Cicakman serta Merong, kami tekad mahu memperluaskan pasaran untuk filem Malaysia sekali pun memahami ia memerlukan kesungguhan dan pelaburan besar. Jika kita tidak mulakan sekarang, bila lagi?” kata Norman Abdul Halim, merangkap penerbit eksekutif filem itu, pada sidang media memperkenalkan teraju utama filem terbabit baru-baru ini.

Berlangsung dalam dewan gah sebuah hotel terkemuka di pinggir ibu negara, sebaik melangkah masuk mata disajikan poster dan bunting memaparkan pelakon dalam kostum pahlawan mereka - Dominic memegang watak sebagai Eirick, Craig Fairbrass (Sven), Natassia Malthe (Brynna), Jon Foo (Yang) dan Conan Stevens (Thor).

Vikingdom diambil daripada puisi epik Viking: Necklace of Brising, berdasarkan mitos sejarah purba Eropah abad ke-8, mengisahkan pahlawan yang melarikan diri daripada keganasan. Dalam pelayaran, dia menempuhi pelbagai rintangan dan pertempuran selain berdepan aneka watak mitos.

Lelah pada wajah mereka masih bersisa apatah lagi sepanjang dua minggu terawal penggambaran berlangsung iaitu di Kellie's Castle, Batu Gajah dan Ipoh, Perak, sudah ada babak pertarungan yang memerlukan masing-masing menunjukkan ketangkasan berlawan pedang dan menunggang kuda.

Begitupun, akui Norman, penggambaran di luar studio yang bermula 15 Oktober lalu hanya sebanyak 30 peratus dengan lokasi terakhir di Puncak Alam, Shah Alam, minggu depan manakala bakinya akan dilakukan di KRU Studios di Cyberjaya.

“Bagi pembikinan Vikingdom ini, kita akan menambah artis grafik sehingga 30 orang memandangkan buat julung kali kita akan bereksperimentasi dengan teknologi tiga dimensi (3D) stereoskopik yang sebelum ini pernah digunakan dalam filem Avatar, ditambah penggunaan teknik imejan janaan komputer (CGI) yang mengagumkan.

“Barangkali apabila berkisar kisah pahlawan, orang akan mengaitkannya dengan Braveheart, 300 atau Gladiator, namun pendekatannya cukup berbeza apabila ia lebih cenderung kepada fantasi dengan tona warna latar yang terang untuk memancing khalayak. Ia seakan versi gelap Harry Porter.

“Kostum menarik, plot kisah mendebarkan, perkembangan karakter serta aksi pertarungan yang digabungkan bantuan kesan khas juga bakal memantapkan kisah tulisan James Coine ini. Kita mahu penonton sama-sama teruja melihat kerja produksi dan plot pengkisahannya,” katanya lagi.

Guna bomoh hujan

SEMENTARA itu Yusry berkata, bekerja dengan bintang antarabangsa tidak memberi apa-apa perbezaan kepadanya kerana mereka profesional dan menghormatinya sebagai pengarah. Namun pada masa sama mereka turut memberi input bagi ‘mencantikkan’ lagi babak.

“Vikingdom ialah produksi terbesar kerana ia turut membabitkan ramai pelakon tambahan dan kru dari luar, tetapi masing-masing memahami tanggungjawab mereka. Tiada yang meminta layanan lebih dan sebagainya, sebaliknya komited sama ada ketika penggambaran mahu pun sesi latihan.

“Disebabkan banyak adegan pertarungan membabitkan pedang dan kuda, kami mengundang lebih 30 pelakon tambahan dari Australia yang mempunyai kemahiran itu, malah barisan pelakon juga menjalani latihan bersama pakar ketika mereka tiada penggambaran walaupun sudah mempunyai asas.

“Seperti Dominic dan teraju lain, mereka lebih puas melakukan adegan lasak sendiri tanpa menggunakan pelagak ngeri. Secara tidak langsung ia menghidupkan lagi babak mendebarkan,” kata Yusry yang memaklumkan mendapat kerjasama ejennya di Los Angeles, Epic Pictures, untuk mendapatkan pelakon Prison Break itu.

Tegas Yusry, pasukannya tidak menghadapi masalah besar berkaitan penerbitan, tetapi perlu berdepan masalah cuaca yang tidak menentu terutama dalam keadaan monsun sekarang.

Mengaku mendapatkan khidmat bomoh untuk menahan hujan, katanya, ia sekadar alternatif untuk membolehkan kerja pembikinan berjalan lancar seperti dijadualkan kerana selepas 21 Disember, Dominic perlu pulang ke Hollywood menjalani penggambaran filem aksi terbarunya, Paradise Lost, bersama Bradley Cooper.

“Saya tidak percaya bulat-bulat, sama ada betul atau sekadar kebetulan, penggambaran untuk beberapa babak yang dilakukan di luar kawasan berjalan lancar biarpun hujan lebat turun selepas setiap kali selesai penggambaran.

“Dengan kapasiti pelakon dan kru yang ramai selain hujan yang sering turun pada awal pagi dan petang membuatkan kita membuat persediaan. Mujur 70 peratus lagi penggambaran akan diselesaikan di dalam studio kami nanti,” katanya mengenai filem yang dijangka menemui khalayak awal 2013.

Menyentuh mengenai pasaran, selain sudah menandatangani kontrak edaran dengan lapan wilayah pengedar di Eropah dan Amerika Syarikat, Vikingdom juga dianggap ‘senjata’ untuk membolot pasaran dalam negara.

Ulasnya, paparan kisah pahlawan viking serta pelakon antarabangsa hanya sandaran, namun paling utama keseluruhan filem yang setara produk Hollywood itu sudah pasti diikuti penonton tempatan yang terdiri daripada berbilang bangsa.

“Apabila membuat filem, kita tidak hanya hasilkan untuk orang luar sekali pun menumpukan perhatian kepada pasaran global kerana seperti filem ini, kami yakin masyarakat Malaysia juga tetap memberi sokongan penuh, apatah lagi mutunya setanding bingkisan luar.

“Jika ditanya adakah Vikingdom mampu memuaskan hati ramai, soal itu terpulang kepada persepsi masing-masing kerana kita tidak mampu memuaskan hati semua individu apatah lagi setiap insan punya selera berbeza. Paling penting kami sudah buat yang terbaik,” katanya.

Keluarga nyawa Dominic

BAGI bintang filem dan siri TV terkenal, Dominic, tawaran KRU Studios yang diajukan Epic Pictures dianggap peluang besar, malah hanya selepas seminggu, dia menerima tawaran seterusnya - untuk menyenaraikan teman gandingan.

“Sebenarnya tiada beza berlakon dengan produksi Hollywood atau Asia kerana sebagai pelakon, saya melaksanakan tanggungjawab saya dan mereka (KRU Studios) juga cukup profesional sepanjang penggambaran.

“Boleh dikatakan cuaca juga antara masalah utama terutama ketika memakai kostum pahlawan pada waktu panas terik, namun pengalaman ini menyeronokkan apatah lagi saya berpeluang bertarung dengan menaiki kuda, ia sesuatu yang baru,” katanya yang diajukan tawaran itu kira-kira tujuh bulan lalu.

Aktor Australia-British yang mencipta nama di Hollywood ini juga mengakui menjalani kehidupan yang ringkas apabila lebih selesa dikelilingi kejiranan biasa berbanding tinggal di persekitaran kediaman bintang ternama.

Malah katanya, keluarga menjadi keutamaan dan tidak hairan pada pergelangan tangan kirinya tertera cacah bertulis ‘keluarga ialah kehidupan’ sekali gus menonjolkan sisi halusnya yang menganggap lakonan sebagai kerjaya, bukan mengejar populariti semata-mata.

Mengagumi Clint Eastwood dan Marlon Brando, baginya sama ada siri televisyen atau layar perak, kepuasan yang dicapai dalam lakonan tidak jauh berbeza kerana paling utama adalah mendapat skrip yang bagus dan mampu memperkembangkan watak.

“Saya suka dengan apa yang saya lakukan kini. Berlakon memberi kepuasan yang sukar saya gambarkan. Cuma mengenai watak yang saya ingini, ia sesuatu yang abstrak, sesuatu yang luar biasa, dan saya masih menunggu saat itu tiba.

“Walau kini kerjaya saya lebih menyerlah di layar lebar, saya tidak akan teragak-agak untuk kembali ke siri TV jika kena dengan cerita dan wataknya. Apa pun buat masa ini saya mahu menumpukan dulu kepada watak Eirick dalam filem ini, yang saya sifatkan sebagai lelaki kuat namun punya sisi misteri,” kata bekas pereka landskap itu.

No comments: