02 November 2011

Terengganu dilanda ribut, ombak besar

Terengganu dilanda ribut, ombak besar Disediakan oleh Berita Harian 
KUALA TERENGGANU: Permulaan musim tengkujuh dan jangkaan banjir besar di Pantai Timur semakin terasa dengan hujan berterusan dan ribut menyebabkan pokok tumbang, manakala ombak besar menghakis pantai hingga merobohkan jalan dan wakaf, termasuk di Tok Jembal di sini. Ombak besar di pantai Tok Jembal kelmarin menyebabkan satu daripada wakaf di pantai peranginan itu runtuh dihakis ombak, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kemungkinan kerosakan lebih besar. Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Mohd Syafiq Mohd Khairuddin, 20, berkata sehari sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan berkunjung ke pantai yang terletak berhampiran institusi pengajian itu untuk berehat sambil mengulang kaji pelajaran. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati wakaf itu sudah tumbang menyembah bumi dihakis ombak, petang kelmarin. Pelajar Jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi berkata, hakisan itu begitu cepat kerana sebelum ini jarak pantai dengan wakaf sejauh kira-kira 20 meter. “Keadaan amat menakutkan dan kami bimbang kemudahan di pantai ini lenyap ditelan ombak sekiranya tiada tindakan menghalang ombak daripada terus menghakis kawasan itu,” katanya ketika ditemui semalam. Sementara itu, tiga kereta dan sebuah motosikal remuk apabila pokok mangga dipercayai berusia lebih 30 tahun tumbang menghempap kenderaan itu serta tiang elektrik di Jalan Tok Lam, semalam. Saksi, Ahmad Idhan Muda, 35, berkata pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman kuat di depan kedai membabitkan kemalangan, apabila meluru keluar terperanjat melihat kenderaan terbabit dihempap pokok. Katanya, ketika kejadian pada jam kira-kira 2.30 petang itu, dia dan rakan sekerja berada dalam premis dikejutkan bunyi kuat sehingga bekalan elektrik bangunan itu terputus. “Syukurlah tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika pokok itu tumbang tiada penumpang dalam kenderaan,” katanya, semalam. Pemilik kereta Proton Saga, Rohayu Awang, 30, berkata dia meletakkan kenderaan di tempat letak kereta bagi menghantar bapanya yang mendapat rawatan di sebuah klinik berhampiran tempat kejadian pada jam 2.10 petang. “Saya sedih tapi bersyukur ketika kejadian anak-anak tiada dalam kereta, jika tidak saya tak tahu apa akan terjadi,” katanya.

No comments: