19 November 2011

OBAMA MOHON BANTUAN MALAYSIA

Malaysia memang hebatlah. Ini negara Malaysia kecil saja tetapi bukan calang-calang negara jugalah sebab Obama pun mahu minta bantuan daripada Malaysia. Oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh.

Kepemimpinan Perdana Menteri di pentas antarabangsa turut dikagumi OBAMA
PRESIDEN Barack Obama mahu Malaysia yang disifatkannya sebagai negara berpengaruh di rantau ini selain dalam kalangan negara Islam, memainkan peranan produktif, penyelesaian konflik dan boleh membantu ke arah kestabilan serta kemakmuran dunia. Ungkapan itu diluahkan Obama kepada Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Asia Timur, di Nusa Dua Bali, semalam. Pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu turut menyifatkan Najib sudah mempamerkan kepemimpinan yang hebat bukan saja dalam usaha untuk terus meningkatkan ekonomi Malaysia, tetapi juga kepemimpinan dalam pelbagai forum pelbagai hala. Malah dalam ucapan pembukaan ringkasnya sebelum mesyuarat itu bermula, Obama berkata, hubungan AS dan Malaysia adalah kukuh, yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). “Saya menghargai kerjasama luar biasa yang kami terima.... kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia. “Jadi, terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri,” katanya dan menambah bahawa kepemimpinan Najib berjaya meneruskan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu, kata Obama, mesyuarat dua hala berkenaan akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan mengenai bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di rantau ini. Dalam ucapan pembukaannya pula, Najib berkata, Malaysia sedia memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan TPP. “Diharapkan kami dapat memenuhi tarikh akhirnya tahun depan. Kami melihat ada prospek besar dari segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara kita. “Kami bersedia untuk bekerjasama dalam bidang lain juga,” katanya. Perdana Menteri berkata, Malaysia juga amat komited dalam memastikan keamanan dan kestabilan dalam bidang pengawalan senjata nuklear dan turut mengambil langkah dalam memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan larangan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear. Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika, Hilary Clinton; Timbalan Ketua Staf untuk Dasar, Nancy-Ann DeParle; Penasihat Keselamatan Negara, Tom Donilon; Penolong Setiausaha untuk Hal-Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell. Delegasi Malaysia pula termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. Bercakap kepada wartawan Malaysia lewat petang semalam, Najib berkata, pada mesyuarat itu Obama meminta Malaysia mengkaji kemungkinan menyertai Perjanjian Kawalan Senjata Nuklear, tetapi Kuala Lumpur sedang mengkaji implikasinya. “Saya juga menyatakan terima kasih kepada Presiden Obama dengan penghantaran 50 guru bahasa Inggeris di bawah skim yang saya cadangkan, iaitu melalui Suruhanjaya Malaysia-Amerika mengenai pertukaran pendidikan. “Mereka ini akan ditempatkan di Pahang, Terengganu dan Johor. Saya menyatakan bahawa ini adalah respons beliau kepada cadangan yang saya buat di New York pada September 2010. Saya berharap jumlah ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya. Najib berkata, Obama juga menyentuh mengenai peranan Malaysia di Afghanistan kerana mengambil bahagian melalui penghantaran pasukan perubatan di sana selain berbincang mengenai kedudukan Palestin.

No comments: