02 November 2011

Najwa Latif Mengamuk

Jawablah!: Elak jaja kisah peribadi Pengurus Najwa mohon maaf jika ada pihak tersinggung PENGURUS penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif, mengamuk dan mengugut mahu menyaman wartawan. Itulah cerita hangat yang menjadi topik perbualan pihak media sepanjang minggu lalu. Khabarnya, kontroversi itu berlaku ketika penyanyi berusia 16 tahun itu diundang untuk menjayakan sebuah majlis mempromosikan filem baru. Meskipun bukan penyanyi ini yang bertindak sedemikian, namun sebagai artis, itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh penyanyi remaja ini. Sedikit sebanyak tempias akan terkena padanya juga. Menurut saksi kejadian, pengurus Najwa, Azahari Jaafar dikatakan memarahi seorang wartawan daripada sebuah stesen televisyen hanya kerana dia bertanyakan soalan berbentuk peribadi kepada penyanyi di bawah jagaannya itu. Kebetulan sebelum itu, sebuah akhbar tabloid ada menyiarkan cerita kononnya Najwa meminggirkan bapanya sendiri. Soalan berkenaan pula ditanya kepada penyanyi remaja ini kerana wartawan terbabit mahu mendapatkan penjelasan Najwa sendiri berhubung kesahihan berita disiarkan itu. Berang dengan tindakan wartawan berkenaan, Azahari didakwa marah-marah sambil menuding jari ke arah wartawan terbabit. Lebih mengejutkan apabila lelaki itu juga mengugut mahu menyaman wartawan yang menyiarkan cerita itu. Hip mendapatkan penjelasan daripada Najwa dan Azahari berhubung kontroversi itu. HIP: Najwa ada di tempat kejadian sewaktu kontroversi itu berlaku? Najwa tiada di lokasi kejadian ketika kontroversi itu berlaku. Najwa dapat tahu mengenai cerita ini selepas dimaklumkan sendiri oleh kakak dan juga Azahari. HIP: Najwa tentu sedar kontroversi seperti ini sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi Najwa sendiri? Itu memang Najwa tahu. Malah Najwa memang sudah bersedia untuk berdepan dengan segala dugaan dan cabaran apabila mengambil keputusan menjadi anak seni. Cuma dalam hal ini, Najwa harus berpegang kepada prinsip dan juga pesanan keluarga, supaya tidak bercerita mengenai hal keluarga kepada orang luar. Biarlah peminat mengenali diri Najwa menerusi bakat Najwa saja. HIP: Tetapi sebagai artis, mahu atau tidak, peminat tetap mahu tahu sisi peribadi Najwa. Itu betul, cuma ia bukan untuk Najwa. Najwa harus menjaga hati keluarga yang tak suka Najwa bercerita kisah peribadi untuk tatapan umum. HIP: Namun benarkah cerita yang mendakwa Najwa meminggirkan bapa sendiri, seperti yang disiarkan dalam akhbar berkenaan? Najwa akui ibu dan bapa Najwa memang sudah bercerai. Najwa pernah berjumpa dengannya (bapa). Hanya itu saja yang Najwa boleh ceritakan. Berikut adalah kenyataan daripada pengurus Najwa, Azahari Jaafar. HIP: Kenapa perlu memarahi wartawan sehingga sampai tahap mahu saman-menyaman? Apa yang berlaku pada hari itu adalah salah faham sebenarnya. Saya tidak marah wartawan berkenaan. Saya hanya meminta dia tidak bertanya soalan yang mengaitkan hal ehwal keluarga Najwa. Tapi mungkin cara saya pada waktu itu membuatkan ada pihak yang tersinggung. Mengenai mengugut mahu menyaman wartawan, perkara itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, menyaman bukanlah satu tindakan yang mampu menyelesaikan masalah. Lagipun, apa yang sudah berlaku, tak mungkin boleh ditarik kembali. Apapun, dengan rendah hati, saya meminta maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kejadian tempoh hari. HIP: Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang ini, Azahari tentu faham tugas wartawan. Adalah perkara biasa jika artis ditanyakan soal peribadi. Mengapa perlu dihalang? Bukan saya yang menghalang, tetapi keluarga Najwa sendiri. Apabila artikel pertama yang membabitkan hal peribadi itu keluar, saya yang terpaksa menjawab dengan keluarganya. Tak mahulah perkara yang mengaibkan seperti ini dijaja. Memang sukar untuk berdepan dengan saat seperti ini, banyak hati yang perlu saya jaga. Sejujurnya, saya sedih dengan apa yang berlaku. Tapi saya sedar, setiap manusia ada kelemahannya. Saya nak ucapkan terima kasih kepada wartawan yang banyak membantu Najwa selama ini. Saya harap perkara seperti ini tidak menjejaskan hubungan Najwa dengan wartawan.

No comments: