PESAN isteri, Norhafizah Rahim agar lebih ‘ganas’ sejurus sebelum bertarung menjadi rahsia kejayaan Ahmad Shahril Zailudin memenangi pingat emas dalam final Putera D di Padepokan Pencak Silat, semalam.
Ketika tiada siapa berani meletakkan harapan, apa lagi menentang pesilat tuan rumah, Ahmad Shahril yang lebih mesra dengan panggilan ‘botak’ membuktikan tiada yang mustahil mempamerkan kejaguhannya. Kejayaan menumbangkan Sapto Purnomo 5-0 bukan saja membolehkan dia meraih emas kedua peribadi selepas Manila 2005, tetapi juga membakar semangat kepada dua lagi pendekar, Mohd Al Jufferi Jamari (Putera E) dan Mohd Fauzi Khalid (Putera F) untuk menambah dua lagi koleksi emas untuk kontinjen negara - sekali gus mengatasi sasaran dua emas ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). “Sebelum turun bertarung, saya ada menghubungi isteri (Norhafizah) dan dia pesan buat yang terbaik dan beraksi dengan lebih ‘ganas’. Jadi, mungkin itu menjadi rahsia kejayaan saya.
“Saya juga tidak tahu daripada mana ‘kuasa’ datang untuk bangkit. Ini mungkin juga berkat doa dia, ibu bapa dan rakan sepasukan,” kata anak peneroka Felda Chini Timur Pahang berusia 30 tahun itu.
Mohd Al Jufferi menumbangkan Nguyen Duy Chien 4-1 manakala Mohd Fauzi melengkapkan emas ketiga menundukkan Katahat Raksapon 5-0.
No comments:
Post a Comment