11 October 2011

Penyanyi veteran Ahmad Jais meninggal dunia

11 Okt – Penyanyi veteran terkenal dengan lagu "Selamat Hari Raya", Dato' Mohd Jais Ahmad (kanan) atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais, meninggal dunia pada 9.20 pagi ini di Pusat Perubatan Darul Ehsan dipercayai akibat komplikasi paru-paru. Menurut laporan Bernama, Ahmad Jais, 75, telah dimasukkan ke hospital dua minggu lalu selepas mengadu mengalami kesukaran untuk bernafas. Menantu lelakinya, Amirul Izwan Razak, 28, memberitahu jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Shah Alam untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di Shah Alam hari ini. Penyanyi yang mula aktif semenjak tahun 60-an ini mengadu keletihan selepas kembali daripada satu persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu. Keadaan Allahyarham semakin teruk pada 20 September dan telah diberi bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ di Selangor. Persembahan terakhir Allahyarham adalah ketika Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, pada 11 September yang telah dihadiri oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak.

No comments: