07 December 2010

Hadis Tentang Orang Mukmin Yang Kuat

Orang Mukmin Yang Kuat Lebih Dikasihi Allah
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Huraian:
  • Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
  • Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
  • Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
  • Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
  • Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.

No comments: