04 December 2010

Pengasas WikiLeaks ambil langkah keselamatan - KOSMO!

GENEVA - Laman web pembocor maklumat kabel diplomatik Amerika Syarikat, WikiLeaks berpindah ke sebuah alamat baru di Switzerland semalam selepas perkhidmatan hos Internetnya di Amerika Syarikat (AS) ditutup.

Laman web berkenaan sedang mendedahkan lebih 250,000 maklumat sulit diplomatik AS yang mencetuskan kemarahan Washington.

WikiLeaks kini boleh dilayari di alamat www.wikileaks.ch, laman web yang didaftarkan oleh sebuah parti politik Switzerland.

Perubahan alamat Internet itu dibuat ekoran laman web www.wikileaks.org gagal berfungsi kelmarin akibat disekat sehingga memaksa laman web itu ditutup.

Pada awal bulan lalu, pengasas WikiLeaks, Julian Assange berkata, dia bimbang nyawanya terancam dan mungkin akan mencari perlindungan di Switzerland.

Semalam, beliau turut mendedahkan dalam sesi soal jawab dengan akhbar Guardian bahawa, pasukannya mengambil beberapa langkah bersesuaian ekoran ancaman untuk membunuh mereka.

Menurut agensi berita Switzerland, ATS, WikiLeaks turut menempah satu lagi alamat Internet www.wikileaks.li di Liechtenstein, negara kecil yang terletak di antara Switzerland dan Austria sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada awal minggu ini, laman web penjualan buku di AS, Amazon berhenti menjadi hos WikiLeaks di Internet selepas ia dikritik oleh anggota-anggota Senat Kongres AS termasuk Senator Joe Leiberman.

Kelmarin, media melaporkan bahawa Assange tidak ditangkap di Britain kerana pihak berkuasa Sweden melakukan kesilapan dalam mengisi waran tangkapnya berhubung dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.

Akhbar The Times menyatakan, polis Britain telah mengenal pasti Assange bersembunyi di satu lokasi di tenggara England tetapi mereka tidak dapat menahannya kerana waran tangkap itu tidak lengkap. - Agensi

Sumber menerusi KOSMO!

No comments: