04 October 2009

Pasangan Khalwat Terlepas Kerana Rasuah

Rabu, 2007 November 07

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan rayuan seorang Pembantu Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Balik Pulau yang disabitkan kesalahan menerima rasuah bagi melepaskan pasangan yang ditahan kerana khalwat pada 2004.

Hakim Datuk Rahim Uda juga mengarahkan hukuman terhadap Ahmadi Yahya, 34, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Mac lalu iaitu denda RM10,000 dan penalti RM1,000 serta wang jaminan RM8,000 dipulangkan.

Rahim membuat keputusan itu dalam permohonan rayuan Ahmadi yang sebelum ini didapati bersalah kerana menerima rasuah sebanyak RM1,000.

Dalam penghakimannya, Rahim berkata, Hakim Mahkamah Sesyen gagal mempertimbang percakapan beramaran yang dibuat sejurus selepas Ahmadi ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 2004, sebelum membuat keputusan.

"Ia bukan perkara teknikal tapi elemen penting iaitu percakapan beramaran langsung tidak dipertimbangkan. Ia menjadi satu ketidakadilan kepada Ahmadi," katanya.

Ahmadi ditahan BPR pada 8 Februari 2005 kerana dituduh menerima rasuah daripada Mohd Fairuz Ismail dan Fauziah Ismail bagi mengelakkan mereka didakwa atas kesalahan khalwat.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana menerima rasuah RM1,000 daripada pasangan itu kira-kira jam 3.30 petang di Jabatan Agama Islam Balik Pulau, pada 2004.

Mahkamah Sesyen kemudian mengenakan denda sebanyak RM10,000 dan penalti RM1,000 serta penjara selama 14 hari, tetapi hukuman penjara ditangguh bagi membolehkan rayuan dibuat.

Di luar kamar, peguam bela Ahmadi, RSN Rayer, berkata pihaknya akan menemui pentadbiran Jabatan Agama Islam Balik Pulau bagi mengembalikan jawatan dan gaji tertunggak sejak Ahmadi digantung kerja pada 2004.

Katanya, Ahmadi juga sedang menimbang kemungkinan memfail saman malu terhadap Mohd Fairuz dan Fauziah kerana menyebabkan kehidupannya terjejas berikutan dakwaan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya BPR, Farah Azlina Latif, pula berkata, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Terdahulu, Rayer dalam penghujahannya, berkata dakwaan rasuah itu fitnah bagi membolehkan pasangan terbabit melepaskan diri daripada tindakan mahkamah.

"Kakitangan dan pegawai penjawat awam mudah ditohmah ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing. Mahkamah perlu lebih berhati-hati dalam menangani kes sebegini," katanya. - Sumber

No comments: