23 August 2009

Foto Obama-Joker cetus kontroversi

Foto Obama-Joker cetus kontroversi
GAMBAR Obama-Joker banyak didapati di internet dan ditampal di jalan raya bandar Amerika. Perbuatan pelajar disifatkan sebagai 'budaya keganasan'

CHICAGO: Seorang pelajar di sini menjadi tumpuan selepas mencipta gambar Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, sebagai 'The Joker', iaitu watak dalam filem Batman: The Dark Knight, foto yang dibuang dari laman web Flickr.

Tindakan pengendali laman berkongsi gambar itu, bagaimanapun, hanya dilakukan dua bulan selepas seorang penggunanya, Shepherd Johnson mendedahkan dia mempunyai 1,200 foto berkenaan, lapor Sydney Morning Herald.

Pelajar yang mencetuskan kontroversi gambar itu, Firas Alkhateeb, diharamkan daripada laman itu lagi selepas meninggalkan komen pada laman rasmi Rumah Putih di web berkenaan.

Alkhateeb dalam ulasannya mengkritik keputusan pentadbiran Obama untuk tidak menyiarkan kepada umum gambar seksaan tahanan tentera Amerika di Iraq serta menyiarkan satu foto menunjukkan seorang tahanan berlumuran darah di Flickr.

Akhbar Los Angeles Times (LAT) minggu ini mendedahkan Alkhateeb sebagai pelajar yang mencipta foto Obama-Joker itu yang kini banyak didapati di internet dan ditampal di jalan raya bandar Amerika.

Imej Obama itu mencetuskan banyak perdebatan di Amerika dan ada pengulas menyifatkannya sebagai 'perbuatan budaya keganasan.'

Alkhateeb, 20, dilaporkan mencipta gambar itu dalam masa lima jam menggunakan grafik kerana bosan ketika waktu rehat di sekolah.

Imej berkenaan kemudian diubah suai pihak tertentu hingga seolah-olah hiasan muka depan majalah Time dan tersebar dengan pantas sebelum pihak lain menafikannya.

Pada masa ini, gambar itu digunakan untuk menjual poster dan kemeja-T dengan perkataan 'socialism' di bawahnya serta banyak dilihat di bandar Los Angeles dan kota lain di Amerika.

Gambar Obama-Joker itu dikeluarkan daripada laman web Flickr beberapa hari lalu atas alasan hak ciptanya diragui selepas agensi berita The Associated Press menuduh pelajar itu menggunakan fotonya.

Pengkritik segera menuduh laman web itu sebagai pro-Obama kerana mereka percaya foto itu adalah satu bentuk satira yang dibenarkan undang-undang hak cipta Amerika.

"Apa yang menggusarkan saya ialah langkah Flickr itu sekali lagi membuat tapisan kepada pengguna mengkritik Obama dan dasar pentadbirannya," kata jurugambar, Thomas Hawk di laman blognya.

Seorang lagi blogger menyiarkan banyak gambar satira bekas Presiden George W Bush di Flickr, termasuk yang menggunakan logo Time.

Alkhateeb ketika mengulas berkata, beliau bukannya mahu membuat kenyataan politik, tetapi sekadar satu cubaan mengubah suai potret mengikut watak filem berkenaan.

Sambil mengakui tidak mengundi dalam pilihan raya presiden yang dimenangi Obama kerana tinggal di Illinois, dia juga berkata: "Dari segi dasar dalam negeri, saya berasa beliau melakukan apa yang baik untuk negara sekarang."

_________________________________
Foto Obama-Joker cetus kontroversi
GAMBAR Obama-Joker banyak didapati di internet dan ditampal di jalan raya bandar Amerika. Perbuatan pelajar disifatkan sebagai 'budaya keganasan'

No comments: