26 August 2008

Duta baru dan perubahan dasar Amerika terhadap Malaysia

Duta baru dan perubahan dasar Amerika terhadap Malaysia
Oleh Mohd Firdaus Hamsin

LAPORAN agensi berita AFP pada awal Jun lalu menyentuh mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk merombak wakil duta besar mereka di Asia Tenggara. Rombakan ini akan melibatkan duta besar di Malaysia, Indonesia, Thailand, Timur Timor, Vietnam dan Laos.

Sebagai sebuah negara yang miliki pengaruh, polisi dan sikap tertentu, tindakan kerajaan Amerika Syarikat begitu diperhalusi oleh negara-negara kecil samada sikap negara ini memberi kebaikan atau kesan sebaliknya kepada negara yang terlibat. Dalam laporan berita tersebut Amerika Syarikat sekali lagi menekankan rombakan ini akan memberi tumpuan kepada usaha mempekukuhkan agenda demokrasi dan hak asasi berasaskan tafsiran mereka kepada rantau asia tenggara.

Malaysia sebagai sebuah negara yang punyai ciri dan sejarahnya tersendiri sudah pasti berhadapan dengan polisi luar kerajaan Amerika Syarikat samada secara langsung atau tidak langsung. Peranan dan sikap dasar luar khususnya kepada Malaysia turut disentuh oleh James Keith, duta besar Amerika Syarikat yang telah dinamakan oleh George W. Bush, Presiden Amerika Syarikat dalam sesi pengesahan untuk senator Amerika Syarikat. Kenyataannya ini telah dibaca untuk Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat mengenai Hubungan Luar.

Sebelum dipilih selaku duta Amerika Syarikat ke Malaysia, James R. Keith pernah bertugas di beberapa buah negara di sekitar Asia Timur serta Asia Tenggara seperti, Korea Selatan, China, Hong Kong, serta Indonesia. Selain daripada itu, beliau juga pernah memegang jawatan selaku Pengarah Hal Ehwal Negara China di Jabatan Negara Amerika Syarikat di samping menjadi anggota Majlis Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat ketika era Presiden George Bush (1988-1992) dan Presiden Bill Clinton (1992-2000).

Berbekalkan pengalamannya bertugas di rantau sebelah sini, Keith yang juga mahir bertutur dalam Bahasa Indonesia, Mandarin serta Korea, Jabatan Amerika Syarikat (US State Department) telah mencalonkannya sebagai duta negara tersebut ke Malaysia mulai penghujung Jun lalu. Ia sekaligus mengambarkan keinginan Amerika Syarikat untuk mengukuhkan jaringan diplomatiknya dengan negara ini, sekaligus mencapai beberapa sasaran yang ingin dicapai melalui hubungan tersebut.


Tugas khas Duta Baru US ke Malaysia
Dalam ucapan yang dibuat di hadapan ahli Jawatankuasa Senat mengenai Hubungan Luar pada 22 Mei yang lalu, Keith telah menggariskan beberapa perkara penting yang ingin dicapai sepanjang tugasannya di negara ini. Yang paling utama ialah untuk mengukuhkan jaringan dua hala di antara kedua negara yang telah wujud semenjak tahun 1957, di samping mengadakan perbincangan terbuka dalam isu-isu yang membawa perbezaan pendapat di antara dua negara.
Di antara isu tersebut ialah tindakan Malaysia yang terus menjalankan hubungan diplomatik serta dagang dengan Iran, yang baginya bertentangan dengan hasrat Amerika untuk memaksa Iran menghentikan program pembangunan nuklearnya. Untuk Keith, sokongan negara ini ke atas usaha ini adalah penting kerana Malaysia merupakan negara peneraju dalam beberapa pertubuhan antarabangsa seperti OIC, NAM, serta ASEAN.

Menerusi pertubuhan-pertubuhan tersebut, Malaysia menjadikannya sebagai platform untuk menyanggah setiap tindak-tanduk serta dasar luar Washington terutama sekali bila menyentuh isu pembangunan teknologi nuklear di Iran. Justeru, pembentukan serta perlaksanaan dasar luar yang selari dengan usul serta hasrat Presiden George W. Bush adalah amat penting sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan tekanannya ke atas Iran.

Dalam ucapannya yang sama juga, Keith telah menggariskan beberapa langkah yang ingin diambil untuk memulihkan imej Amerika Syarikat di kalangan rakyat di negara ini. Antaranya ialah dengan meningkatkan program penerangan serta dialog di antara pihak kedutaan dengan pelbagai pihak di negara ini. Menilai daripada kenyataan ini, tidak hairan sekiranya Keith akan merujuk saranan yang dibuat oleh Bahagian Hal Ehwal Demokrasi, Hak asasi manusia dan Tenaga Buruh di Jabatan Negara Amerika Syarikat.


Wakil kedutaan US promosi teleransi agama
Dalam laporan yang diterbitkan pada September 2006, ia memetik usaha yang dilakukan oleh warga kerja kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk mempromosikan kesedaran toleransi agama serta kebebasan hak asasi manusia di kalangan rakyat negara ini. Ia turut meliputi usaha pihak kedutaan untuk menjalinkan erat dengan kumpulan hak asasi manusia serta wakil setiap penganut agama yang ada di negara ini. Ia adalah ekoran pandangan yang dibuat terhadap kadar toleransi agama serta kebebasan bersuara di negara ini, yang pada pandangan mereka tidak berada dalam keadaan yang memuaskan.

Di samping itu juga, untuk merapatkan jurang di antara Amerika Syarikat serta rakyat negara ini, Keith menyatakan kepentingan untuk menggalakkan interaksi di antara rakyat kedua-dua negara tersebut. Proses ini turut meliputi para pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat, diharap dapat membentuk persepsi yang lebih positif di kalangan rakyat negara ini yang dinilainya banyak dipengaruhi oleh perbezaan pendapat yang sering berlaku di antara kedua-dua negara.


Isu keselamatan dan Jemaah Islamiyah
Dalam ucapannya, Keith menilai Malaysia sebagai calon utama untuk dijadikan sebagai rakan strategik utama Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara. Kenyataan ini mengejutkan memandangkan A.S telah membina hubungan akrab dengan Singapura dan Filipina. Bagi beliau, Malaysia mempunyai kemampuan untuk memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan kempen memerangi keganasan untuk rantau Asia Tenggara. Penilaian Keith ini berasaskan kepada beberapa faktor berikut.

Di antara faktor itu ialah, kedudukan Selat Melaka yang sebahagian besarnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan Malaysia. Kepentingan selat itu sebagai jalur perdagangan perdagangan penting dunia membuatkan ia terdedah kepada ancaman pengganas antarabangsa. Selain berhadapan dengan risiko diserang serta dirampas oleh pengganas, A.S khuatir sekiranya kapal-kapal yang melalui selat itu digunakan untuk menyeludup senjata pemusnah.

Sebagai langkah untuk berhadapan dengan keadaan ini, Amerika Syarikat menerusi program Proliferation Security Initiative (PSI), perlu mencari rakan “sekerja” di kalangan negara yang mengawal Selat Melaka.

Melalui PSI, tentera Amerika Syarikat bebas untuk menahan serta memeriksa kapal-kapal laut serta pesawat udara yang disyaki membawa senjata pemusnah yang berada dalam lingkungan sempadan udara dan laut negara yang menyertai program tersebut. Berikutan kegagalan Amerika Syarikat memujuk Indonesia yang turut berkongsi pengawasan ke atas selat itu, untuk menyertai program tersebut tahun lalu, membuatkan tumpuan Amerika kini terarah kepada Malaysia, walaupun ia telah menolak untuk menyertai program tersebut.

Ini turut disokong dengan faktor betapa Malaysia telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi di dalam menjayakan kempen memerangi keganasan, yang meliputi tindakan menahan serta mendakwa beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan Jemaah Islamiyyah (JI) serta membasmi pergerakan kumpulan Abu Sayyaf. Ia turut diperkuatkan dengan faktor bahawa Malaysia merupakan Pusat Serantau untuk Latihan Memerangi Keganasan di Asia Tenggara (SEARCCT), yang mana ia digerakkan oleh Amerika Syarikat.


Kerjasama ekonomi
Selain menyentuh isu keselamatan, Keith juga telah menyatakan komitmennya untuk membantu mengembangkan kepentingan perdagangan Amerika Syarikat terutama sekali dalam sektor pertanian, alam sekitar, harta intelek serta tenaga kerja mahir. Ia memandangkan Malaysia merupakan antara rakan niaga utama A.S dengan nilai perdagangan dua hala yang mencecah 50 billion dollar.

Dengan jumlah pelaburan bernilai 10 billion dollar, Amerika Syarikat menduduki tangga teratas dalam jumlah keseluruhan pelaburan asing di negara ini. Justeru ia bukanlah suatu perkara yang janggal sekiranya James R. Keith akan cuba memainkan peranan yang lebih aktif di dalam menjayakan hasrat A.S untuk menandatangi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang masih di dalam proses perundingan.

Menilai dari kenyataan yang dilakukannya, James R. Keith mempunyai peranan yang sangat besar yang perlu dimainkan selaku duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia. Sejauh mana berkesannya peranan yang akan dimainkannya kelak, akan hanya dinilai dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang. Dalam erti kata lain, beliau akan berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengotakan janji yang telah dibuatnya.

Oleh itu polisi dan sikap kuasa besar ini perlu diperhalusi dan difahami oleh generasi muda khususnya dalam memahami isu hubungan antarabangsa dan bentuk pengaruh langsung dan tidak langsung kepada Malaysia. Dasar luar Amerika Syarikat khususnya terhadap Malaysia tidak boleh dipandang ringan dan ianya bergantung kepada bagaimana kita selaku rakyat Malaysia memahami perkara ini dan memberi respon langsung kepada kerajaan dan pihak luar sebagai "stakeholders" iaitu yang juga miliki tanggungjawab dalam memastikan survival dan masa depan Malaysia.

Penulis merupakan AJK Biro Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

No comments: