08 June 2011

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat
KOSMO!

RAMALLAH - Beberapa orang bertindak membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat awal pagi semalam dan menconteng dinding dengan perkataan Ibrani.

Menurut Ketua Kampung el-Mughayer, Faraj al-Nassan, penduduk kampung mengetahui mengenai kebakaran itu semasa mereka pergi untuk bersolat subuh.

Karpet masjid itu terbakar tetapi kebakaran tersebut tidak merebak.

Menurut ketua kampung itu, pembakaran itu yang menggunakan tayar di dalam kawasan masjid sebenarnya bertujuan untuk menyebabkan bangunan masjid terbakar.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengaku untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Namun, penduduk Yahudi dipercayai menjadi suspek yang membakar masjid berkenaan kerana terdapat contengan perkataan Aley Ayin yang merupakan kawasan penempatan haram Yahudi.

Kawasan penempatan haram itu diarahkan kosong oleh pemerintah Israel pada minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk percubaan untuk membakar masjid itu. - Agensi



Pelampau Yahudi cuba bakar masjid di Palestin
UTUSAN

PENDUDUK Palestin dan media massa meninjau lantai masjid yang dibakar oleh pelampau Yahudi di masjid Kampung al-Mughayyir dekat Ramallah, semalam. - REUTERS

RAMALLAH 7 Jun - Pendatang haram Yahudi cuba membakar sebuah masjid di Tebing Barat dan menconteng slogan anti-Arab pada dindingnya, kata sumber keselamatan Palestin hari ini.

Pelampau Yahudi itu membakar beberapa tayar di dalam masjid di kampung al-Mughayyir, 20 kilometer ke timur laut Ramallah, menyebabkan tikar sembahyang di dalam bangunan itu rosak.

Mereka juga menyemburkan perkataan 'Alei Ayin' pada dinding masjid, nama sebuah kawasan penempatan haram Yahudi yang dimusnahkan oleh polis Israel minggu lepas sehingga mencetuskan pertempuran sengit dengan pendatang.

Seorang jurucakap tentera yang mengesahkan percubaan untuk membakar masjid itu berkata, pentadbiran tentera sudah menerima aduan daripada penduduk dan menghantar sepasukan pakar forensik untuk mencari bahan bukti.

Pendatang haram Yahudi mengamalkan apa yang mereka sebut sebagai dasar 'tanda harga' di mana mereka menyerang penduduk, ladang atau kampung Palestin, setiap kali kerajaan Israel bertindak untuk menyekat pembinaan kawasan penempatan haram.

Israel menganggap kawasan penempatan terpencil Yahudi yang dibina di Tebing Barat tanpa kelulusan kerajaan sebagai menyalahi undang-undang, dan kerap menghantar pasukan keselamatan untuk memusnahkannya.

Kawasan itu selalunya menempatkan hanya beberapa buah rumah bergerak.

Masyarakat antarabangsa menganggap semua kawasan penempatan Yahudi yang dibina di Tebing Barat, yang ditawan oleh Israel daripada Jordan 44 tahun lalu semasa Perang Enam Hari 1967 sebagai melanggar undang-undang antarabangsa. - AFP

No comments: